Monday, October 12, 2026

DI SINI TAK BOLEH BERGAMBAR!

Sebaik sahaja keluar dari Masjid Hassan II, saya mengambil kesempatan untuk merakam beberapa keping gambar di sekitar perkarangan masjid. Sayang rasanya kalau peluang ini dilepaskan begitu sahaja. Masjid yang begitu indah dan tersergam megah di hadapan mata, bukan selalu dapat saya kunjungi. 

Sedang asyik mengambil gambar, tiba-tiba seorang pengawal keselamatan datang menegur.

“Tak boleh ambil gambar di sini. Waktu sudah habis!”

Saya sedikit terkejut.

Rupa-rupanya bukan sahaja ruang solat masjid ditutup selepas waktu yang ditetapkan, malah kawasan perkarangan masjid juga perlu dikosongkan.

Saya memerhatikan beberapa orang pengawal sedang menjalankan tugas mengarahkan pengunjung meninggalkan kawasan masjid. Ada yang masih mahu mengambil gambar, ada yang berjalan perlahan-lahan sambil menoleh ke belakang, seolah-olah belum puas menikmati keindahan masjid ini.

Mungkin mereka juga seperti kami. Datang dari jauh, semata-mata mahu menyaksikan sendiri kehebatan seni bina Masjid Hassan II yang begitu terkenal.

Namun, apakan daya. Peraturan tetap peraturan.

Apabila saya menoleh ke sekeliling, rupa-rupanya hanya tinggal kami bertiga, saya, isteri dan Muaz, yang masih berada di perkarangan masjid. Pengunjung lain semuanya sudah beredar.

Saya belum puas bergambar!

Lalu saya cuba memujuk pengawal tersebut.

“Ma‘lish... Ana min Malizia. Saya datang dari Malaysia. Naik kapal terbang hampir 20 jam untuk sampai ke Maghribi. Saya datang jauh-jauh nak tengok masjid yang sangat indah ini. Masjid ini luar biasa! Tak ada masjid lain yang serupa dengannya!”

Saya bercakap dengan penuh bersungguh-sungguh sambil menunjuk ke arah masjid.

Pengawal itu memandang saya, kemudian tersenyum.

Barangkali dia terhibur mendengar rayuan seorang pelancong dari Malaysia yang begitu bersemangat mahu bergambar.

“Daqiqah!” katanya sambil mengangkat satu jari.

Seminit!

Alhamdulillah. Ada peluang!

Saya segera mengucapkan terima kasih.

Namun, sebelum meneruskan sesi bergambar, saya sempat mengajaknya bergambar bersama.

“Saya mahu bergambar dengan pengawal yang tampan dan baik hati ini!”

Dia ketawa kecil mendengar pujian saya.

Nampaknya pujian itu menjadi!

Bukan sahaja dia membenarkan kami mengambil gambar, malah dia turut membantu memastikan kami tidak diganggu oleh pengawal lain. Apabila ada rakannya yang datang, dia memberitahu bahawa kami sudah mendapat kebenaran untuk mengambil gambar sebentar.

Alhamdulillah. Daripada langsung tidak boleh bergambar, akhirnya dapat juga kami merakam kenangan.

Begitulah pengalaman saya berurusan dengan masyarakat Arab. Kadang-kadang, bahasa yang lembut, sedikit gurauan dan pujian yang ikhlas mampu mencairkan suasana yang pada mulanya agak tegang.

Bukan semua urusan perlu diselesaikan dengan perdebatan. Ada kalanya senyuman dan kata-kata yang baik jauh lebih berkesan.

Kami bertiga pun mengambil peluang itu untuk bergambar dengan pelbagai gaya dan posisi berlatarbelakangkan Masjid Hassan II.

Sekejap di sini. Sekejap di sana.

Muaz menjadi jurugambar. Kemudian kami bergilir-gilir pula mengambil gambar.

Seminit yang diberikan terasa begitu berharga!

Saya sedar pengawal itu sebenarnya sedang menjalankan tugas. Sebab itulah kami perlu menghargai kelonggaran yang diberikannya.

Bukan mudah untuk sampai ke sini.

Perjalanan dari Malaysia ke Maghribi sahaja sudah mengambil masa hampir sehari semalam. Kemudian kami memandu pula dari Marrakech ke Casablanca, semata-mata mahu menunaikan solat Asar dan melihat sendiri keindahan masjid yang selama ini hanya saya tatap melalui gambar dan video.

Kini, masjid itu benar-benar tersergam di hadapan mata.

Masya-Allah, tabarakallah!

Masjid Hassan II bukan sekadar sebuah bangunan besar. Ia merupakan lambang kehebatan seni bina Islam Maghribi, hasil gabungan kemahiran, ketelitian dan kesenian para tukang yang diwarisi sejak berabad-abad lamanya.

Kedudukannya yang menghadap Lautan Atlantik menambahkan lagi keistimewaannya. Menara yang menjulang tinggi, ukiran yang begitu halus dan binaannya yang megah benar-benar mengundang rasa kagum.

Ada satu lagi sebab mengapa masjid ini begitu dekat di hati saya.

Saya sebenarnya sudah lama meminati bacaan al-Quran oleh salah seorang imamnya yang terkenal, Syeikh Umar al-Qazabri (عمر القزابري).

Saya sering mendengar bacaan beliau, khususnya rakaman solat tarawih dari Masjid Hassan II. Suaranya yang merdu, dengan alunan bacaan menurut riwayat Warsh daripada Imam Nafi‘, begitu menyentuh hati.

Riwayat Warsh inilah yang menjadi tradisi bacaan al-Quran yang meluas diamalkan di Maghribi, berbeza dengan riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim yang biasa kita dengar di Malaysia.

Selama ini saya hanya mengenali masjid ini melalui suara imamnya dan gambar-gambar keindahannya.

Hari ini, Allah mengizinkan saya berdiri sendiri di hadapannya.

Terasa suatu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Saya memandang sekali lagi ke arah masjid sebelum melangkah meninggalkan perkarangannya.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar.

Betapa banyaknya nikmat Allah yang sering kita terima tanpa kita sedari.

Nikmat kesihatan untuk bermusafir. Nikmat rezeki untuk sampai ke tempat yang jauh. Nikmat kesempatan untuk melihat kebesaran ciptaan-Nya dan hasil kehalusan seni yang dikurniakan kepada manusia.

Dan pada hari ini, satu lagi nikmat kecil yang begitu bermakna.

Nikmat bertemu seorang pengawal yang baik hati, yang menghadiahkan kami seminit untuk mengabadikan kenangan sepanjang hayat.

Benarlah, kadang-kadang sesuatu perjalanan bukan hanya meninggalkan kenangan tentang tempat yang kita lawati, tetapi juga tentang manusia yang kita temui.

Terima kasih, wahai pengawal Masjid Hassan II. Semoga Allah membalas kebaikanmu.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Catatan Travelog Maghribi — Casablanca, Jun 2022.

No comments: