Wednesday, September 03, 2025

BUATLAH APA YANG DIA MAHU JANJI JANGAN KAWIN

Beberapa tahun lepas ketika saya masih tinggal di Kota Damansara  seorang wanita menegur saya ketika waktu rehat yang saya hadiri di ibu kota . Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang jemaah masjid tegar dikawasan kejiranannya. Dia mengetahui dari kawannya bahawa saya seorang ustaz dan juga kerap berceramah dan memberi kuliah di masjid dan surau. 

Dia ingin mendapatkan pandangan tentang isu yang membelenggu fikirannya.

“Ustaz! Saya selalu solat di Masjid di kawasan kejiranan saya.”  Dia memberitahun nama masjid tersebut dan memang diketahhui ramai bahawa itu ada masjid elit yang jamaahnya terdiri dari Datuk Seri, Tan Sri, Datuk, Datin dan pelbagai golongan kayangan. Mereka ini adalah golongan atasan dan Jutawan.

“Ustaz tahu kat masjid tu ramai para datin-datin solat kat situ. Mereka ni istiqamah solat jemaah dan juga melazimi kelas-kelas agama.”

“Cuma ada beberapa perkara yang nak tanya ustaz.”

“Apa tu nampak macam serius”. Saya mengubah duduk untuk mendengar dengan lebih baik.

“Saya selalu berbual dengan datin-datin tu semua.Saya pernah tanya mereka datang dengan siapa. Datuk ada sekali kah.”

“Mereka tu biasanya datang dengan geng datin. Suami mereka selalu keluar negeri berpoya-poya. Mereka tanpa segan silu beritahu saya suami-suami mereka tu jutawan berpangkat datuk selalu berpoya dan berhibur di Thailand.”

“Saya tanya mereka tak risaukah mereka melanggan pelacur. Apa jawapan mereka Ustaz tahu?”

Saya menggelengkan kepala.

“Mereka kata tak kisah nak langgan pelacur pun. BIasanya datuk akan melanggan pelacur high class yang mahal. Kalau yang mahal ini lebih selamat. Mereka kata biarlah suami mereka berhibur mereka para datin ada program sendiri sesama mereka.”

“Langsung mereka tidak ada rasa cemburu suami mereka menyimpan wanita lain. Bahkan ada yang bangga menceritakan bahawa suami mereka ada perempuan simpanan yang cantik bak artis. Boleh tumpang cuci mata katanya. Mereka kadang-kadang tidak malu membanding dan berbangga gadis simpanan suaminya lebih cantik dari perempuan simpanan datuk yang lain.”

“Kenapa suami mereka tidak poligami sahaja dengan perempuan tu semua. Jadikan isteri yang halal.” Saya mencelah.

“Itulah masalahnya ustaz. Saya dah tegur mereka. Bukankah sikap begitu dikira menghalalkan zina kan ustaz.?”

“Ustaz tahu apa jawapan mereka? Mainlah dengan seramai mana pun janji jangan kahwin ja. Kalau kawin tahu lah tinggi rendahnya langit mereka akan kerjakan suami mereka.”

“Perkara ini dah jadi biasa diterima dikalangan korporat, geng datuk seri, datuk. Simpan perempuan tanpa kahwin itu sudah jadi kebiasaan.”

“Apa hukumnya Ustaz bagi isteri begini. Menghalang suami berpoligami secara halal, namun redha suami berzina. Bahkan  ada juga kes golongan datin ni, ada penghibur mereka sendiri terdiri dari lelaki muda yang hensem. Suami mereka bayar katanya.”

Saya mengucap panjang mendengar kisah ini. Kali ini saya mendengar sendiri cerita sebegini. Sebelum ini pernah dengar juga cerita tentang golongan korporat kaya ini hidup sebegini. Tidak dinafikan ada juga yang baik dan beriman, banyak menyumbang kepada kebajikan.

“Mereka ni datuk datin ni rajin juga ke masjid. Mereka banyak juga bersedekah menyumbang kepada masjid. Pahala mesti buat juga kata mereka.”

Saya tidak nafikan ramai juga yang berfikiran begini. Mereka menganggap kebaikan yang mereka lakukan boleh menimbus dan mengimbang maksiat yang mereka lakukan.

Begitu juga dengan sikap sebahagian wanita. Mereka amat melenting dan mengamuk bila suami ingin berpoligami, tapi jika suami mempunyai hubungan haram kemarahan mereka tidak setanding bila mengetahui suami berpoligami.

Saya tidak banyak bergaul dengan golongan kayangan ini, jadi saya tidak tahu sejauh manakah isu ini menjadi wabak dalam kalangan mereka.  JIka ada. ini adalah kemungkaran yang perlu dicegah segera. Allah telah memberi penyelesaian. Jangan sekali-kali kita memandang enteng dengan kemurkaan Allah.

Allah sudah berfirman dengan jelas dalam surah al Isra ayat 32

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“Maka janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

Janganlah kita menolak hukum Allah demi untuk kepuasan diri sendiri.

Tidak berbaloi bahagia di dunia, merana di Akhirat.


No comments: