Thursday, June 05, 2025

NASI KUNING DI CHECKPOINT

 Hari khamis 15 mei ketika saya sedang beramah mesra dengan kawan lama kami dari Kampung Singgah mata di Restoran Aishah Delova, saya mendapat mesej dari Mustaman.

“Jadikan besok kita sarapan bersama di batu 32?”

Mustaman bekas pelajar saya yang saya amat kagumi kesungguhannya, sentiasa berusaha tingkatkan kualiti diri. Dari pelajar biasa hingga sekarang mempunyai sarjana Muda daru USM dan sekarang bertugas sebagai pesuruhjaya sumpah di Kinabatangan.


“Boleh insya Allah, Misi kami di Telupid selesai malam ini.” Balas saya.

“Ok. Kita jumpa di Batu 32 jam 7.00 pagi di Restoran Nasi Ayam Hainan Dyana. Jadi tak payahlah Ustaz datang ke pejabat saya di Kinabatangan. Jauh juga tu.” Mustaman menetapkan temujanji kami.

Saya hanya bersetuju dan berjanji akan bertolak dari Telupid seawal jam 5.30 pagi. Itupun kira sudah lewat kerana waktu subuh di Telupid sekitar jam 4.45 pagi. Kami perlu bergerak laju juga agar sempat sampai tepat jam 7 di batu 32.

Usai solat subuh pagi Jumaat kami terus daftar keluar dari City Hotel. Malam tadi  kami tidur nyenyak keletihan lantaran kurang tidur  menempuh perjalanan jauh 2 jam setengah penerbangan dan 2 jam setengah memandu ke Telupid.

Kami tiba di Restoran Dyana lewat 10 minit gara-gara jalan yang teruk. Mustaman sudah menunggu kami dan mencadangkan kepada saya menu nasi kuning ikan tongkol. Ini adalah menu istimewa di Sabah terutama di Sandakan.

“Kat sini menu paling sedap ialah nasi kuning. Ustaz mesti cuba.”

Mesti. Sudah 20 tahun saya tak merasa makan nasi kuning ni.”

Saya mencadangkan kepada Wan Rumaizi agar mencuba nasi kuning ini. Menu yang tiada di semenanjung. Pagi ini saya terpaksa mengorbankan diet IF saya demi meraikan Mustaman. Sekali sekala tiada masalah dan tidak memberi kesan kepada diet pemakanan saya.

Kami bersembang panjang tentang pelbagai topik. Saya mengucapkan tahniah kepada Mustaman kerana berjaya mencapai cita impiannya iaitu sebagai pesuruhjaya sumpah. Beliau sebenarnya terinspirasi dengan Abang Hamzah Abdullah seorang pesuruhjaya sumpah di Sandakan yang banyak membantu Mustaman dan juga masyarakat setempat. Beliau juga seorang aktivis yang banyak memperjuangkan banyak isu isu masyarakat.

Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Itulah yang saya selalu tanamkan kepada pelajar-pelajar saya di SMK Elopuran dahulu. Jangan berhenti menanam impian. Impian adalah target dan ia merangsang dan memotivasi diri untuk berusaha dan berdoa. Jika seseorang tidak mempunyai impian dan cita-cita, mindanya tidak dikerah untuk berfikir untuk memacu usaha.

Mustaman adalah satu contoh orang tidak pernah lelah berusaha dan mencari jalan. Banyak perkara yang telah dikorbankan. Sikapnya yang ringan tulang membantu siapa saja tanpa syarat antara punca pintu rezekinya terbuka luas. Sekarang dia berkira-kira untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya. Semoga cita-citanya berjaya.

Kesungguhan Mustaman berulang alik dari Sandakan Ke pejabatnya di Kinabatangan dengan jarak lebih 70 km sehala  amat memenatkan apatah lagi dengan kondisi jalan yang menguji ketahanan diri. Tetapi pemilihan Kinabatangan sebagai  tempat perkhidmatan pesuruhjaya sumpah adalah amat tepat kerana masyarakat tempatan amat memerlukan perkhidmatan ini. Sebelum ini jika ingin membuat surat sumpah dan pengesahan dokumen penduduk terpaksa keluar ke bandar Sandakan.

Saya menasihati Mustaman agar sentiasa menjaga kesihatan badan dan juga minda agar badan dan rohani sentiasa segar malar. Perjalanan hidup Mustaman masih jauh. Banyak lagi topik kami bualkan dengan ilmu dan minda Wan Rumaizi yang segar tentang isu kewangan global yang amat mencabar.

Sebelum kami berpisah jam 8 pagi saya sempat titipkan pesan kepada Mustaman agar sentiasa tingkatkan ilmu pengetahuan dengan banyak membaca pelbagai disiplin ilmu. Inspirasi utama ialah wahyu pertama pencetus pemikiran dan kebangkitan tamadun Islam iaitu ‘Iqra’. Bacalah Dengan Nama TuhanMu.

Sebelum saya masuk ke kereta sempat lagi Mustaman berbisik pada saya:

“Ustaz! Saya tempah hotel penginapan ustaz untuk malam ini dan malam esok. Saya mahu belanja Ustaz.”

Saya tak sampai hati untuk menolak. Saya hanya mengiyakan saja. Semoga Allah permudahkan segala urusan Mustaman dan murahkan rezekinya.


No comments: