Tuesday, June 10, 2025

IBADAH KORBAN TIMBA PENGALAMAN ERATKAN UKHUWWAH KELUARGA

Kenapa bagi orang muda yang sembelih lembu? Mana orang tua yang lebih berpengalaman?”

Ini antara beberapa persoalan yang pernah diajukan kepada saya apabila melihat saya membenarkan anak lelaki saya yang berumur 23 tahun menyembelih lembu korban. 


Memang sudah menjadi prinsip saya mendidik dan memberi peluang generasi muda untuk belajar tentang kehidupan. Dua tahun lepas saya memberi peluang kepada anak lelaki pertama saya untuk menyembelih lembu juga ketika berumur 22 tahun. Tahun lepas giliran ipar bongsu saya diberi peluang untuk merasai pengalaman menyembelih lembu. Insya Allah tahun depan giliran anak lelaki saya yang berumur 18 tahun pula.

Keistimewaan budaya dan tradisi di Negeri Kelantan sembelihan korban dilakukan oleh keluarga masing-masing di rumah. Ia bukan sekadar ibadah syiar Islam malah ia juga sebagai lambang kerjasama keluarga dan mengeratkan silaturrahim.

Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk mendidik ahli keluarga untuk bersatu hati dan bekerjasama menyelesaikan ibadah korban bermula dari perancangan awal, menjatuhkan lembu, menyembelih, melapah, memasak dan mengagihkan daging. Ini semua dilakukan oleh semua ahli keluarga tidak mengira lelaki dan perempuan. Semuanya berperanan.

Semua perlu belajar dan ringan tulang menyelesaikan kerja yang ada. Pengalaman ini adalah amat berharga untuk anak-anak generasi baru. Banyak yang boleh mereka belajar dari pelaksanaan ibadah korban ini.

Saya masih ingat ketika bertugas di SMK Elopura pada tahun 2011. Ustaz Nasir Ismail sebagai ketua kami golongan Ustaz menganjurkan ibadah korban di Sekolah. Beliau dan arwah Cikgu Masnon merancang dan mengaturkan segalanya dengan bantuan guru-guru lain. Setiap tahun tidak kurang 5 ekor lembu akan ditumbangkan. Ketika itu ibadah Korban agak kurang di Sandakan dan hanya dilakukan di Masjid yang besar sahaja.

Apa yang menarik ialah prinsip Ustaz Nasir yang membuka peluang kepada sesiapa sahaja warga guru yang ingin mendapat pengalaman menyembelih. Saya antara yang dipaksa untuk mencuba dan beberapa lagi guru muda yang lain. Ramai juga yang menolak dengan alasan tidak berani. Namun saya menyahut cabaran ini diajar selok belok dan petua yang terbaik untuk menyelesaikan penyembelihan.

Ilmu sembelihan ini yang sebelumnya sekadar teori sudah dilaksanakan secara praktikal. Alhamdulillah. Pengalaman yang mahal yang saya perolehi  kemudian diturunkan kepada rakan-rakan saya yang lain ketika menganjurkan program korban di Surau Taman Fajar. Pernah juga beberapa kali kami laksanakan program di kampung-kampung bersama masyarakat apabila cuti Aidiladha yang panjang.

Saya juga belajar bagaimana menguruskan penyediaan makanan yang lebih mudah dan pantas dengan menggunakan daging korban dari Allahyarham Cikgu Rosli Hashim. Beliau banyak mengajar saya konsep memasak yang mudah. Air perlu dididihkan satu periuk besar lebih awal serentak dengan lembu ditumbankan untuk sembelih. Air perlu masa untuk mendidih. Apabila lembu  sudah hampir siap dilapah air juga sudah siap mendidih.

Tulang temulang dan daging sudah siap disiapkan terus dimasukkan di dalam periuk yang sedang mendidih dan ianya amat menjimatkan masa hampir sejam daripada kaedah biasa. Begitu juga dengan masakan daging goreg juga dimasukkan air panas di goreng hingga kering airnya. Air yang panas ini menyebabkan daging lembut dengan cepat berbanding cara biasa.

Dengan kerjasama ini alhamdulillah Program korban yang bermula sewal jam  8 pagi waktu sandakan boleh selesai semua siap makan tengah hari seawal jam 11 pagi. Begitu juga dengan keluarga kami dikelantan yang dimulai biasanya jam 9.30 pagi boleh selesai seawal jam 1 tengah hari.

Alhamdulillah. Ibadah korban bukan sekadar syiar agama malah ia juga adalah lambang kerjasama dan tautan ukhuwwah antara ahli keluarga, rakan sekerja dan juga warga penduduk setempat. Selamat berkorban. Semoga Allah menerima ibadah korban kita semua.


No comments: