Tuesday, June 03, 2025

PERJALANAN KE TELUPID YANG MENCABAR

 Niat kami ke Sandakan adalah untuk bertemu sahabat-sahabat lama yang telah banyak memberi kenangan dalam perjalanan hidup ini. Kehadiran mereka dalam dairi kehidupan mencorak warna kehidupan saya. Semoga musafir kali ini dipermudahkan Allah. 


Beberapa minggu sebelum ke Sandakan saya cuba mencari perkhidmatan kereta sewa untuk kegunaan saya sepanjang 4 hari di Sandakan. Harga dalam iklan memang murah dan menarik. Namun apabila diberitahu akan ke telupid harga sewa berbeza. Alasannya perjalanan jauh diluar kawasan dan risiko kerosakan kereta adalah tinggi. Walaupun sudah diterangkan bahawa hanya hari pertama sahaja ke Telupid manakala 3 hari yang lain hanya di sekitar sandakan sahaja. Tapi harga sewa untuk 4 hari tetap dalam kategori luar kawasan. Saya tangguhkan dahulu keputusan.

Alhamdulillah. Bila saya menghubungi sahabat baik saya Ustaz Mahadir, orang lama di Sandakan dan memaklumkan akan ke Sandakan beliau terus menawarkan rumah dan keretanya untuk kegunaan saya sepanjang saya di Sandakan.

“Wah.. Demo nak mari jalan Sandakan. Lama tak jumpa demo. Mari dok rumah kawe. Kawe ada buat rumah di Kebun kat sungai Manila. Kereta kawe pun banyak ni. Boleh pakai kereta juga.”

Begitulah keadaan Ustaz Mahadir. Tak berubah dari dulu. Orangnya amat baik dan pemurah. Sentiasa ringan tulang membantu dalam apa jua hal. Ketika saya di Sandakan dulu kalau bermesyuarat dengan dia untuk apa apa program semuanya selesai dengan mudah. Patutlah Allah murahkan rezekinya di Sandakan.

Kapal mendarat di Sandakan lebih awal dari jadual. Memang Pilot pada hari itu memecut kapal semahunya. Kami sampai 20 minit lebih awal. Kami sampai jam 8.55 pagi kami sudah keluar terminal sedangkan dalam jadual kami akan sampai jam 9.15pagi.  Ustaz Mahadir akan datang ambil kami di Lapangan Terbang jam 10.30 pagi kerana dia perlu selesaikan kelasnya dulu. Jadi kami bersarapan dulu Restoran Nasi Kandar al Falah.

Ustaz Mahadir tiba tepat pada waktunya dengan kereta Toyota Fortuner.

“Maaf. Lewat sedikit ada kelas tadi.”
“Demo pakai kereta ni lah. Sesuai untuk ke Telupid. Jalan teruk sangat sekarang. Demo tengoklah nanti.”

Itu yang diberitahu oleh Ustaz Mahadir bila saya tanya kenapa bagi kereta ini pada saya. Saya hanya ingin pinjam kereta kecil saja.

Jam 10.45 pagi saya dan Wan Rumaizi telah memulakan perjalanan kami  ke Telupid yang dijangka akan mengambil masa hampir 3 jam dengan jarak hanya 160km. Setelah mengisi minyak dan angin tayar kami meneruskan perjalanan. Banyak perubahan sepanjang jalan teruma di kawasan batu 7 hingga batu 11.

Setelah sejam perjalanan saya mendapat panggilan dari rakan lama saya di PPD Telupid Ustaz Nor Bakti bertanyakan tentang perjalanan saya. Saya hanya maklumkan akan sampai sebelum jam 1 ptg di PPD Telupid. Beliau akan tunggu saya di PPD Telupid.

Selang setengah jam saya mendapat mesej dari GB sekolah kawan saya juga bertanya khabar tentang perjalanan saya pagi ini. Dia memberi maklumat bahawa tidak perlu kesekolah kerana kawan saya itu hanya tinggal dikawasan Telupid sahaja. Dia terus memberi lokasi rumah dan juga gambar kawasan jalan. Memang mudah dengan teknologi sekarang.

Memang perjalanan kali ini amat mencabar. Jalan dari batu 32 yang dipanggil Check Point ke Telupid amat teruk. Kelajuan purata kami hanya bawah 50km sejam dengan jalan beralun dan berlubang. Apa yang memburukkkan keadaan ialah projek Lebuh Raya Pan Borneo yang dibina di jajaran yang sama menyebabkan gangguan besar kepada pengguna jalan raya sedia ada.

Kami tertanya-tanya kenapa projek ini dibina dengan cara ini. Mungkin ada kisah yang kami tidak tahu. Tapi cara ini akan menyebabkan kesengsaraan kepada pengguna jalan raya yang berlulang alik dari sandakan, lahad datu dan tawau untuk ke Kota Kinabalu. Bila lah ianya akan berakhir.

Alhamdulillah. Perjalanan kami lancar untuk hari ini. Allah telah permudahkan perjalanan kami untuk bertemu mata dengan sahabat lama.

No comments: