Tuesday, July 08, 2025

WIRID SELEPAS SOLAT YANG NYAMANKAN HATI

Semasa  bermusafir ke Padang dan Bukit Tinggi, Indonesia pada bulan Febuari lepas saya menginap di hotel bajet RedDoors Syariah di Tengah Sawah. Kawasan itu ada disebelah    Jam Besar Padang saja. Cuma nama  tempatnya  ialah tengah sawah. Mungkin dulu kawasan itu adalah kawasan sawah padi dan sekarang sudah menjadi  penempatan yang padat. 


Saya memilih untuk mengindap di sini bukanyanya kerana ia murah semata-mata, tetapi  kerana ianya  penginapan yang paling dekat dengan  Masdid Jamiak Agung Tengah Sawah dengan jarak hanya 140m. Alhamdulillah ,  saya dapat solat isyak  dan subuh berjemaah di Masjid ini.

Apa yang sangat menarik ialah  selepas solat waktu,  wirid dilakukan secara individu dan senyap. Imam tetap tidak berganjak dari tempatnya berwirid sehingga selesai. Para makmum juga tidak bergerak  seolah-olah mereka wirid bersama imam  tetapi dalam keadaan senyap. Saya perhatikan imam menggerakkan jarinya mungkin untuk berzikir dan kemudiannya menadah tangan untuk berdoa. Begitu juga dengan makmum yang lain.  Hampir tiada seorang pun yang bangun awal  keluar masjid.

Saya duduk dan memerhatikan  suasana ini.   Kadar wirid mereka berbeza, ada yang panjang dan ada  yang pendek. Selepas beberapa minit  saya melihat masing-masing menadah tangan untuk  berdoa dan kemudannya mereka bagun untuk beredar. Ada yang berdoa panjang dan ada juga berdoa pendek.  Saya amat teruja dengan suasana ini.

Begitu juga hari  kedua ketika saya solat Subuh di Masjid Raya Bukit tinggi bersebelahan  bersebelahan dengan Pasar Atas Bukit Tinggi. Suasana yang sama dapat dilihat. Para imam dan makmum berwirid dan berdoa secara individu. Semuanya tidak berganjak masih dalam saf dan ada juga keluar kebelakang sedikit  untuk mengambil ruang.  Apa yang saya lihat semuanya berwirid dan menadah tangan untuk berdoa secara senyap.

Saya teringat ketika kali pertama saya datang ke   sini pada tahun 2015  ketika saya singgah solat maghrib di sebuah masjid di  Padang Panjang. Ketika  itu para jamaah sudah selesai wirid solat magharib dan terdapat beberapa jemaah yang sedang membaca al Quran sedikit nyaring dan bacaan mereka boleh didengari oleh kami.  Bila saya mengangkat takbir untuk solat, suara bacaan al Quran terus senyap.  Saya dapat sempurnakan solat dengan tanpa gangguan. Mereka amat perihatin dengan keadaan sekeliling.

Suasana ini amat berbeza dengan tempat kita di Malaysia. Masjid dan surau masih mengamalkan wirid secara berjamaah secara nyaring. Alasan pihak masjid adalah untuk membimbing jamaah berwirid. Tetapi apa yang jelas ialah bacaan wirid nyaring ini menggangu solat mereka yang masbuk yang perlu menghabiskan  baki rakaat mereka.  Bacaan wirid ini juga menggangu jemaah yang lewat walaupun mereka solat diluar ruang solat utama kerana wiridi ini dibaca menggunakan pembesar suara.

Saya mempuyai pengalaman pahit ketika singgah solat di sebuah masjid dalam perjalanan balik dari lapangan terbang kerumah saya.    Saya sampai di masjid itu ketika imam sedang membimbing wirid selepas solat maghrib. Bacaannya amat kuat kerana menggunakan pembesar suara yang bergema seluruh masjid. Saya dan anak saya amat terganggu dan hanya  mampu berusaha membaca al fatihah  sahaja dan  ayat bacaan rukun yang  lain untuk selesaikan solat.

Kenapakah kita masyarakat Islam di Malaysia memilih untuk membudayakan wirid  syaring ini  walaupun secara jelas ianya mengganggu solat?. Sedangkan  terdapat hadis yang  jelas tentang  Rasulullah melarang  sahabat  membaca al Quran dalam masjid secara nyaring  kerana mengganggu orang lain sedang solat.

عَنْ عَطَاءِ بْنِ يَسَارٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ خَرَجَ عَلَى النَّاسِ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَيَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ فَقَالَ: إِنَّ كُلَّكُمْ يُنَاجِي رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ."

 

"Sesungguhnya setiap kamu sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) sebahagian yang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam bacaan al-Quran."

 

Alangkah baiknya jika   budaya wirid secara individu ini juga  menjadi budaya masyarakat di Malaysia. Setiap orang  perlu berwirid sendiri berdasarkan kelapangan masanya. Begitu juga dengan doa. Setiap orang ada  keperluan dan hajat masing-masing. Jika berdoa bersendirian bolehlah kita bermunajat sekejap mohon dari Allah  berbanding hanya mengaminkan doa imam  yang berbentuk umum.

Semoga para imam dan pihak pengurusan masjid boleh memulakan budaya yang baik  ini .  Berubah dari membimbing bacaan wirid dan doa  kepada berwirid dan berdoa secara individu. Sebagai permulaan boleh menyediakan kertas wirid bercetak untuk rujukan  para jamaah sehinggalah mereka  telah  selesai menghafal wirid dan doa sendiri.

Budaya ini perlu dimulakan. Ayuh kita bermula dengan diri kita. Jangan selepas  solat terus bangkit keluar tanpa selesai wirid dan doa tetapi berwiridlah    sendirian secara senyap. Usai berdoa  bangunlah  teruskan kehidupan harian kita.