Monday, June 16, 2025

BERGERAKLAH KEHADAPAN

Saya diminta memberi pengisian dalam satu majlis bersama bakal guru yang akan mengakhiri peringkat latihan. Tidak beberapa lama lagi akan dihantar kesekolah seluruh pelusuk Malaysia untuk mendidik anak bangsa. 

Majoriti mereka adalah bakal guru agama yang akan ditugaskan mengajar pendidikan Islam kepada murid-murid. Tugas mereka nanti ialah mendidik dan mentarbiah anak-anak kecil tentang nilai Islam meliputi aqidah, fekah, Sirah, al Quran, akhlak dan sebagainya. Tugas ini amat berat dan mencabar dengan suasana sekarang.

Sebelum memulakan sesi pengisian saya melihat dewan kuliah hanya penuh dibahagian tengah dan belakang. Manakala 3 baris di bahagian depan kosong. Sedangkan saya diberitahu program tiada tetamu khas. Jadi semua tempat adalah untuk peserta.

Ini adalah pemandangan biasa dalam majlis-majlis ilmu di Malaysia. Mungkin ada perasaan ingin memberi ruang kepada  orang lain untuk mengambil tempat hadapan. Jadi tempat dibelakang menjadi pilihan. Saya merasa cuak kerana seolah terasa bercakap dengan bangku kosong. Semua penceramah mungkin akan terasa begitu.

Saya teringat satu peristiwa dalam satu seminar akademi ketika belajar di Jordan dahulu. Situasi sama berlaku dan pengerusi majlis meminta para hadirin memenuhi tempat kosong dihadapan sebagai adab perbincangan ilmu dan akademik. Pengerusi memetik ayat al Quran ayat 11 Surah al Mujadilah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا ۖ يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

Semua hadirin berebut untuk memenuhi tempat di hadapan sejurus selesai pengerusi membaca ayat ini. Saya kagum dengan hadirin yang terus menyahut seruan tersebut dengan segera dan majlis terus dimulakan.

Saya cuba kaedah yang sama membaca ayat al quran ini dan menterjemah dan seterusnya menghuraikan secara ringkas. Kemudia saya meminta hadirin untuk bergerak memenuhi tempat di hadapan.Saya lihat semua saling memandang antara satu sama lain dan tidak bergerak. Selepas saya mendesak barulah beberapa tempat di isi dan masih banyak ruang kosong.

Terdetik di hati saya betapa susahnya untuk menjadikan ayat al Quran perintah Allah sebagai motivasi untuk menggerakkan diri. Ya .. itu lah hakikat yang perlu kita akui. Ayat ayat al Quran dibaca hanya untuk mendapat barakah dan pahala ganjaran dari Allah.

Al Quran diturunkan kepada manusia untuk memberi panduan dan petunjuk. Namun Allah telah bahawa hanya orang bertaqwa sahaja yang akan merasa bahawa al Quran ini sebagai petunjuk dan panduan.

ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ

"Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa."

Jadi fikir-fikirkan lah jika ayat al Quran ini tidak mampu untuk memberi motivasi menggerak diri melaksanakannya adakah kita yakin bahawa kita adalah orang bertaqwa?

Itulah persoalan yang perlu kita fikir bersama.

No comments: