Saya diminta memberi pengisian dalam satu majlis bersama bakal guru yang akan mengakhiri peringkat latihan. Tidak beberapa lama lagi akan dihantar kesekolah seluruh pelusuk Malaysia untuk mendidik anak bangsa.
Majoriti mereka adalah bakal
guru agama yang akan ditugaskan mengajar pendidikan Islam kepada murid-murid.
Tugas mereka nanti ialah mendidik dan mentarbiah anak-anak kecil tentang nilai
Islam meliputi aqidah, fekah, Sirah, al Quran, akhlak dan sebagainya. Tugas ini
amat berat dan mencabar dengan suasana sekarang.
Sebelum memulakan sesi pengisian
saya melihat dewan kuliah hanya penuh dibahagian tengah dan belakang. Manakala 3
baris di bahagian depan kosong. Sedangkan saya diberitahu program tiada tetamu
khas. Jadi semua tempat adalah untuk peserta.
Ini adalah pemandangan biasa
dalam majlis-majlis ilmu di Malaysia. Mungkin ada perasaan ingin memberi ruang
kepada orang lain untuk mengambil tempat
hadapan. Jadi tempat dibelakang menjadi pilihan. Saya merasa cuak kerana seolah
terasa bercakap dengan bangku kosong. Semua penceramah mungkin akan terasa
begitu.
Saya teringat satu peristiwa
dalam satu seminar akademi ketika belajar di Jordan dahulu. Situasi sama
berlaku dan pengerusi majlis meminta para hadirin memenuhi tempat kosong
dihadapan sebagai adab perbincangan ilmu dan akademik. Pengerusi memetik ayat
al Quran ayat 11 Surah al Mujadilah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ
آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ
اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا ۖ يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ
آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ
خَبِيرٌ
Maksudnya:
Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu
(untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan
(segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan
orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa
darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang
kamu lakukan.
Semua hadirin berebut untuk memenuhi
tempat di hadapan sejurus selesai pengerusi membaca ayat ini. Saya kagum dengan
hadirin yang terus menyahut seruan tersebut dengan segera dan majlis terus
dimulakan.
Saya cuba kaedah yang sama
membaca ayat al quran ini dan menterjemah dan seterusnya menghuraikan secara
ringkas. Kemudia saya meminta hadirin untuk bergerak memenuhi tempat di
hadapan.Saya lihat semua saling memandang antara satu sama lain dan tidak
bergerak. Selepas saya mendesak barulah beberapa tempat di isi dan masih banyak
ruang kosong.
Terdetik di hati saya betapa
susahnya untuk menjadikan ayat al Quran perintah Allah sebagai motivasi untuk
menggerakkan diri. Ya .. itu lah hakikat yang perlu kita akui. Ayat ayat al
Quran dibaca hanya untuk mendapat barakah dan pahala ganjaran dari Allah.
Al Quran diturunkan kepada
manusia untuk memberi panduan dan petunjuk. Namun Allah telah bahawa hanya
orang bertaqwa sahaja yang akan merasa bahawa al Quran ini sebagai petunjuk dan
panduan.
ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى
لِّلْمُتَّقِينَ
"Kitab (al-Quran) ini
tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi orang-orang yang
bertakwa."
Jadi fikir-fikirkan lah jika
ayat al Quran ini tidak mampu untuk memberi motivasi menggerak diri
melaksanakannya adakah kita yakin bahawa kita adalah orang bertaqwa?
Itulah persoalan yang perlu kita
fikir bersama.