Hari khamis 15 mei ketika saya sedang beramah mesra dengan kawan lama kami dari Kampung Singgah mata di Restoran Aishah Delova, saya mendapat mesej dari Mustaman.
“Jadikan besok kita sarapan bersama di batu 32?”
Mustaman bekas pelajar saya yang saya amat kagumi kesungguhannya, sentiasa berusaha tingkatkan kualiti diri. Dari pelajar biasa hingga sekarang mempunyai sarjana Muda daru USM dan sekarang bertugas sebagai pesuruhjaya sumpah di Kinabatangan.
“Boleh insya Allah, Misi kami di Telupid selesai malam ini.”
Balas saya.
“Ok. Kita jumpa di Batu 32 jam 7.00 pagi di Restoran Nasi
Ayam Hainan Dyana. Jadi tak payahlah Ustaz datang ke pejabat saya di
Kinabatangan. Jauh juga tu.” Mustaman menetapkan temujanji kami.
Saya hanya bersetuju dan berjanji akan bertolak dari Telupid
seawal jam 5.30 pagi. Itupun kira sudah lewat kerana waktu subuh di Telupid
sekitar jam 4.45 pagi. Kami perlu bergerak laju juga agar sempat sampai tepat
jam 7 di batu 32.
Usai solat subuh pagi Jumaat kami terus daftar keluar dari
City Hotel. Malam tadi kami tidur
nyenyak keletihan lantaran kurang tidur menempuh perjalanan jauh 2 jam setengah penerbangan
dan 2 jam setengah memandu ke Telupid.
Kami tiba di Restoran Dyana lewat 10 minit gara-gara jalan
yang teruk. Mustaman sudah menunggu kami dan mencadangkan kepada saya menu nasi
kuning ikan tongkol. Ini adalah menu istimewa di Sabah terutama di Sandakan.
“Kat sini menu paling sedap ialah nasi kuning. Ustaz
mesti cuba.”
“Mesti. Sudah 20 tahun saya tak merasa makan nasi kuning
ni.”
Saya mencadangkan kepada Wan Rumaizi agar mencuba nasi
kuning ini. Menu yang tiada di semenanjung. Pagi ini saya terpaksa mengorbankan
diet IF saya demi meraikan Mustaman. Sekali sekala tiada masalah dan tidak
memberi kesan kepada diet pemakanan saya.
Kami bersembang panjang tentang pelbagai topik. Saya
mengucapkan tahniah kepada Mustaman kerana berjaya mencapai cita impiannya
iaitu sebagai pesuruhjaya sumpah. Beliau sebenarnya terinspirasi dengan Abang
Hamzah Abdullah seorang pesuruhjaya sumpah di Sandakan yang banyak membantu
Mustaman dan juga masyarakat setempat. Beliau juga seorang aktivis yang banyak
memperjuangkan banyak isu isu masyarakat.
Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan. Itulah yang saya
selalu tanamkan kepada pelajar-pelajar saya di SMK Elopuran dahulu. Jangan
berhenti menanam impian. Impian adalah target dan ia merangsang dan memotivasi
diri untuk berusaha dan berdoa. Jika seseorang tidak mempunyai impian dan
cita-cita, mindanya tidak dikerah untuk berfikir untuk memacu usaha.
Mustaman adalah satu contoh orang tidak pernah lelah
berusaha dan mencari jalan. Banyak perkara yang telah dikorbankan. Sikapnya
yang ringan tulang membantu siapa saja tanpa syarat antara punca pintu
rezekinya terbuka luas. Sekarang dia berkira-kira untuk menyambung pelajaran ke
peringkat seterusnya. Semoga cita-citanya berjaya.
Kesungguhan Mustaman berulang alik dari Sandakan Ke
pejabatnya di Kinabatangan dengan jarak lebih 70 km sehala amat memenatkan apatah lagi dengan kondisi
jalan yang menguji ketahanan diri. Tetapi pemilihan Kinabatangan sebagai tempat perkhidmatan pesuruhjaya sumpah adalah
amat tepat kerana masyarakat tempatan amat memerlukan perkhidmatan ini. Sebelum
ini jika ingin membuat surat sumpah dan pengesahan dokumen penduduk terpaksa
keluar ke bandar Sandakan.
Saya menasihati Mustaman agar sentiasa menjaga kesihatan
badan dan juga minda agar badan dan rohani sentiasa segar malar. Perjalanan hidup
Mustaman masih jauh. Banyak lagi topik kami bualkan dengan ilmu dan minda Wan
Rumaizi yang segar tentang isu kewangan global yang amat mencabar.
Sebelum kami berpisah jam 8 pagi saya sempat titipkan pesan
kepada Mustaman agar sentiasa tingkatkan ilmu pengetahuan dengan banyak membaca
pelbagai disiplin ilmu. Inspirasi utama ialah wahyu pertama pencetus pemikiran
dan kebangkitan tamadun Islam iaitu ‘Iqra’. Bacalah Dengan Nama TuhanMu.
Sebelum saya masuk ke kereta sempat lagi Mustaman berbisik
pada saya:
“Ustaz! Saya tempah hotel penginapan ustaz untuk malam
ini dan malam esok. Saya mahu belanja Ustaz.”
Saya tak sampai hati untuk menolak. Saya hanya mengiyakan
saja. Semoga Allah permudahkan segala urusan Mustaman dan murahkan rezekinya.
No comments:
Post a Comment