Tuesday, September 30, 2025

MENGAJAR KAWAN RUSIA BAHASA ARAB

 Di Jordan, kami adalah generasi pertama pelajar Malaysia Universiti al Albayt yang telah di paksarela tinggal di asrama. Ketika kami ditempatkan di asrama dengan bangunan berkotak-kotak itu hanya pelajar Malaysia yang ada.  


Selepas tiga hari kalau tidak silap ingatan saya baru pelajar dari negara lain sampai dan ditempatkan di asrama. Saya ingat lagi selepas waktu isyak ketika kami sedang berehat kami lihat beberapa orang pelajar baru telah sampai. Mereka ditempatkah dibangunan sebelah bangunan saya.

Mereka kelihatan keletihan mungkin baru sampai dari perjalanan yang jauh. Saya menegur mereka. Alhamdulillah, mereka menjawab salam. Hanya itu saja komunikasi kami. Yang lain tidak di fahami. Saya menyebut nama saya dan negara.

“Abdullah.. Malaysia…”

Mereka menjawab…

“Elnour…Russia”

“Arthur… Russia”

Mereka dari Russia rupanya.. dan mereka hanya mampu bertutur dalam bahasa Russia sahaja.. Mereka langsung tidak tahu bahasa Inggeris apatah lagi bahasa Arab. Jadi komunikasi kami ibarat ayam bercakap dengan itik. Lebih baik guna bahasa Melaysia untuk bercakap dengan mereka.

Tiba salah seorang dari mereka menyebut sesuatu…

“Vada.. Vodu..” itu ja yang saya ingat.. sambil membuat gaya tangan ke mulut.

Langsung saya tidak faham apa yang dia sebut dan apa yang dia mahu. Saya hanya geleng kepala.

Dia kemudiannya menarik tangan saya ke bilik air. Dia membuka paip dan menunjukkan air yang keluar sambil menyebut..

“Vada.. Vodu..”

Oh.. rupanya dia mahu air untuk diminum. Saya menjemput mereka kebilik saya untuk memberi minum air mineral jenama ‘al Kauthar’ yang saya beli di pekan Mafraq.

Saya mengajarnya untuk menyebut..

“Maa’”.. (Air).. Selepas beberapa sesi dia mampu menyebut dengan baik..

“Spasiva.. maa”.. Selepas beberapa minggu baru saya belajar dari mereka ‘Spasiva’ adalah bermaksud terima kasih.

Selepas itu hampir setiap malam saya mengajar mereka bahasa Arab. Bermula di mengenal huruf, mengenal perkataan mudah sekitar asrama.

Mereka ini amat bijak dan cepat belajar. Mereka menghadiri kelas bahasa dari pagi hingga petang. Dan apa yang saya tahu mereka mohon lanjutkan masa belajar sehingga lewat petang. Hanya khas untuk mereka.

Hasilnya.. selepas 3 bulan mereka sudah mampu berkomunikasi dengan bahasa Arab dengan baik. Saya tidak perlu lagi mengajar mereka. Bahkan selepas 6 bulan, bahasa Arab mereka lebih baik dari saya. Mereka mampu bercerita sesuatu  dalam bahasa Arab tanpa tersangkut-sangkut atau teragak agak. Kosa kata mereka s lebih banyak dari saya dan mampu menerangkan sesuatu dengan mudah.

Barulah saya kenal dengan bangsa Rusia. Patutlah mereka hebat dalam teknologi. Kesungguhan dan ketekunan mereka seolah tidak ada dalam dalam diri kita orang Malaysia. Saya malu dengan mereka.

 

Monday, September 29, 2025

PENANGAN “SHADOWING”

 Ramai juga yang bertanya kepada saya bagaimana saya boleh kenal rapat dengan  ‘Batoul’ Pelajar perempuan Arab yang berbadan kecil, manis dan boleh dikira paling cantik dalam kalangan pelajar Arab. Sebenarnya selepas perkelanalan dalam kelas Bahasa Arab 101 ada peristiwa lain lagi.

Antara cara saya menguatkan penguasaan bahasa Arab saya terutama kemahiran bertutur ialah dengan menggunakan kaedah ajuk atau ‘Shadowing’. Saya suka mengajuk dialog-dialong ringkas, Ungkapan ungkapan yang menarik yang saya dengari. Saya juga akan mengajuk ucapan dan kuliah pensyarah yang saya anggap menarik. Kadang kadang ketika menonton filem atau karton Arab saya menggunakan kaedah yang sama. Ya. Ia sangat berkesan.

Namun satu hari ketika kuliah ‘Nathar Hadith’ (Prosa Moden) kalau tak silap saya yang di ajar oleh Dr Muhammad Darubi terjadi satu peristiwa yang tidak disangka-sangka. Dalam kuliah ini pelajar secara bergilir-gilir membaca teks yang disediakan oleh pensyarah secara kuat untuk didengari oleh semua pelajar. Kemudian Dr Muhamad akan membuat ulasan.

Saya ketika itu kebetulan duduk di belajar pelajar perempuan Arab termasuk ‘Batoul’. Ketika giliran dia membaca. Cara bacaan amat menarik dengan suaranya dan lenggoknya yang mengasyikkan. Secara tidak sedar saya terikut bacaannya. Suara saya juga agak kuat dan boleh didengari oleh orang lain termasuk Dr Muhammad.

“Sout Min haza..Man yuqallid al ssout..?” (Suara siapa ni. Siapa yang mengajuk suara?) Dr Muhammad bertanya kepada pelajar. Dia melihat sekeliling kelas. Semua pelajar diam senyap seribu bahasa. Saya amat terkejut dan takut.

Batoul berpaling memandang saya. Aduh.. dia perasan rupanya. Saya hanya memandangnya sambil mengangkat bahu. Saya buat muka tidak bersalah. Alhamdulillah. Selepas marah-marah Dr Muhammad meminta pelajar lain menyambung bacaan. Kali ini saya diam. Allah.. malunya tak terungkap.

Usai kelas, saya  lambat sedikit biarkan pelajar lain dahulu keluar. Ketika keluar rupanya Batoul dan bebrepa orang kawannya menunggu saya..


“Enta al lazi tuwallid souti?” (Awak ke yang ajuk suara saya?”). Dia bertanya sambil tersenyum. Saya hanya mampu mengiyakan saya.

Naam..Ana aasif…” (Ya.. saya mohon maaf). Saya mengiyakannya sambil menundukkan kepala dan belalu pergi.

Saya sebenarnya amat malu dengan peristiwa itu. Saya rasa pelajar lain pun tahu bahawa itu suara saya.  Terutama pelajar Malaysia yang duduk sebaris dengan saya. Namun mereka semua diam tidak memberi apa-apa respon dan langsung tidak memandang kepada saya. Jadi persoalan Dr Muhammad tidak terjawab. Hanya Batoul saya yang berpaling. Itupun diliihat oleh Dr Muhammad.

Bagi saya kaedah mengajuk dialog adalah antara kedah yang berkesan untuk melatih kemahiran bertutur bahasa Arab. Ianya dapat melembutkan lidah dengan sebutan yang betul. Ia juga melatih kelancaran kata apabila bertutur. Lidah kita akan menjadi biasa dengan kosa kata baru dan juga ungkapan.

Friday, September 26, 2025

KETUK DUIT SYILING SEBAGAI TANDA MAHU TURUN

 Antara ilmu yang abang senior kami  ajar  ketika naik  bas atau coaster ialah kegunaan duit syiling. Perlu ada stok duit syiling dalam poket.  

“Nanti kalau naik bas atau coaster perlu ada  duit syiling. Amat penting. Kalau tidak ada  perlu pinjam dari orang lain atau  kena minta tolong penumpang lain.”

Terang abang senior kami. Kamu terpinga-pinga tidak faham  kegunaan duit syiling tersebut.


“Nanti kamu  perhatikan sepanjang perjalanan coaster ini.”

Ya. Baru kami perasan sesuatu.  Apabila kedengaran bunyik ‘tik. Tik..tik’ coaster akan berhenti dan penumpang akan turun. Kami perhatikan lagi dari mana punca bunyi itu.

Nah… sekali kami terpandang seorang  penumpang menggunakan duit syiling untuk mengetuk tingkap cermin   sebagai tanda sudah sampai ke destinasi dan mahu turun.

Deria pemandu juga amat hebat. Telinganya amat sensitif.   Ada bunyi ‘tik’ saja dia akan terus berhenti.  Begitu juga dengan bas besar. Jika ingin berhenti di tepi jalan boleh juga dengan kaedah mengetuk duit syiling di cermin bas. Telinga pemandu  akan dapat mendengarnya. Kamu pun hairan dengan deria pemandu  bas ini.

Ada sekali berlaku pada saya. Sebelum sampai ke destinasi saya sudah siap sedia dengan duit syiling di tangan   dan tangan dilekatkan di cermin bersedia untuk mengetuk cermin bila hampir sampai ke tempat yang saya mahu turun.

Tiba-tiba coaster seolah terpijak lubang dan  coster bergegar. Tiba- tiba bas membrek dan berhenti. Saya baru sedar bahawa duit syiling di  jari saya sudah terketuk  ke cermin. Hanya sekali sahaja bunyi ‘tik’ . Bas terus berhenti..

“Min biddu yanzil huna..?” ( Siapa yang mahu turun sini?)  Teriak pemandu coaster bila melihat tiada seorang pun yang turun.

“Mafi hada.. bas ana ghaltan..”  (Tak ada sorang pun. Saya tersilap ketuk) Saya terpaksa menyahut mengaku  tersilap ketuk. Banyak mata memandang saya termasuk ada sorang gadis tersenyum melihat saya.  Saya sebagai orang asing memang menarik perhatian ramai orang. Lebih-lebih lagi  saya dilihat ada iras dengan Jackie Chan pelakon tersohor.

Lain padang lain belalang. Itu lah hakikat perbezaan budaya  yang kami pelajari. Benarlah Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.

Mahasuci Allah yang telah menciptakan manusia dengan pelbagai budaya dan ragam. Saya syukur kepada Allah diberi rezeki sampai ke bumi Arab ini hingga dapat mengenali cara kehidupan dan budayanya.

Thursday, September 25, 2025

KAMU SILAP NAIK BAS NI!

 Minggu pertama kami sampai di Jordan, kami di tumpangkan ke rumah-rumah  senior pelajar Malaysia di Swieleh, Amman.   Penempatan sementara ini sebelum kami semua diagihkan mengikut Universiti masing-masing sebagaimana yang akan diumumkan oleh Jabatan pengajian tinggi Jordan. 


Abang senior mengajar kami  cara  kehidupan baru di Jordan. Kali pertama kami diajar naik Coaster, iaitu pengangkutan awam  seperti bas kecil. Kami tidak pernah lihat kenderaaan ini di Malaysia.  Ianya macam perkhidmatan bas biasa di Malaysia yang ada laluan yang ditetapkan dengan tambang yang telah ditetapkan.

Kami hanya perlu beritahu kepada pembantu pemandu kemana tempat kami turun dan akan diberitahu jumlah tambangnya. Seingat saya tambang dar bandar Amman ke Sweileh adalah 150  fils. Lebih kurang  80 sen duit Malaysia.

Hari kedua, abang senior mencadangkan kami agar bergerak sendiri tanpa ditemani oleh mereka.  Ketika ke bandar memang mudah. Hanya tahan Coaster di tepi jalan dan    turun di stesen di bandar. Semasa balik kami naiki Coaster di tempat yang sama. Timbul masalah.

Setelah Coaster bergerak, Pembantu pemandu mengutip tambang.

“Swieleh” Kawan saya dengan yakin menyebut destinasi kami sambil menunjukkan isyarat 3 jari. Kami bertiga. Tapi dengan pelat Malaysia.

“Eish… Weiu  truhhh” (Apa.. nak  pergi mana). Pembantu itu bertanya kembali sambil mengerutkank keningnya…

“Sweileh…” Kawan saya tadi menyebut dengan kuat sehingga suara didengari seluruh penumpang.

Tarkab coaster ghalat..   hai Coaster mu ila makan taqul..” (Kami silap naik coaster ni. Coaster  ini tidak pergi tempat kamu tu cakap tu).  Pembantu  tadi menunjukkan muka terkejut.

Kami bertiga berpandangan sesama sendiri. Cuak.  Ahhh.. sudah.. salah   naik coaster ke..

Melihat keadaan itu ada seorang Arab mencelah…

“Hadhulaa truh ila Sweileh” Kali ini dengan sebutan  Arab yang tepat. Lain bunyinya dari apa yang disebut  oleh kawan saya tadi.

Arab itu  menegur kami dan menerangkan bahawa apa yang kawan sebut tadi bunyinya macam huruf ‘SIIN’ sedangkan perkataan  Sweileh bermula dengan huruf ‘SOOD’. Bezanya amat ketara bagi orang Arab. Jadi apa yang kami sebut tadi tidak difahami oleh penutur Arab.

Hari itu  kami belajar sesuatu pentingnya sebutan huruf arab. Bagi kami orang Malaysia  perbezaan hurf tak banyak beza. Banyak  huruf Arab bunyinya hampir sama seperti huruh ‘SIIN dan SOOD’  “HA simpul dan HA  pedas” lagi susah mahu dibezakan. Begitu juga dengan sebutan huruf  ‘ZAL, ZAI dan ZOAA’ . Orang melayu menyebutnya  hampir sama bunyinya.

Perkataan ‘Sooleh’ disebut sebagai SALEH.  Perkataan ZOHOR disebut dengan huruf ZAI. Seolah huruf ZOA tak ada dalam bunyi Melayu. Itulah dilema pelajar Malaysia yang belajar Arab. Hatta guru guru mengajar bahasa Arab pun kurang memberi penenakan tentang sebutan bunyi ini. Hanya sekadar tahu terjemahan saja.


Antara dapatan kajian saya ialah ramai pelajar menyatakan bahawa apabila mereka bercakap dengan orang Arab, tutur mereka tidak difahami menyebabkan mereka merasa gerun dan malu untuk  bertutur dengan orang Arab. Mereka akan takut dan seboleh bolehnya mengelak untuk bertutur dengan  orang Arab.

Apa yang saya perhatikan ialah ramai kalangan guru bahasa Arab tidak memberi penekanan tentang sebutan bunyi . Sedangkan ianya sudah termaktub dalam sukatan. Inilah antara puncanya.  Ramai yang  mengajar bahasa Arab hanya untuk membaca dan menulis seterusnya lulus cemerlang dalam peperiksaan. Bahasa Arab bukannya di ajar untuk  kemahiran mendengar dan bertutur.

Ini antara yang perlu kita sama-sama baiki. Itu adalah amanah sebagai  guru bahasa Arab.


Wednesday, September 24, 2025

IKAN TANPA KEPALA

 Itulah menu masakan yang disediakan oleh  Kafeteria Universiti al Albayt, selepas kami mohon kepelbagaian menu makan tengah hari dan malam.  Sebelum ini  menu yang disediakan ialah ayam, daging lembu atau kambing.  Kami pelajar Malaysia yang baru sampai ke tanah Arab tidak biasa dengan menu kambing setiap hari. Walaupun ianya istimewa tapi kami tidak biasa.


Tekak kami masih lagi tekak Malaysia. Mesti makan ikan setiap hari. Wakil pelajar telah membuat perjumpaan dengan pihak universiti memohon  menu agar menu di kafeteria dipelbagaikan dan lebih bersifat nusantara yang sesuai dengan tekak Malaysia.

Malangnya tukang masak di sana tidak pernah ada pengalaman menu Asia.  Menu ikan yang dimasak pun adalah ala Arab.  Ikan yang dimasak tidak pernah kami makan. Ikannya pelik  berbentuk  panjang hampir sejengkal tapi tanpa kepala.

“Syusmu samak?” (Apa nama ikan ni?) saya pernah bertanya tukang masak yang melayani kami di kafeteria.

Maqtu’ Ra’s” (ikan tanpa kepala). Itu saja jawapan mereka.

Ikan tersebut dimasak berkuah sebagaimana permintaan kami. Kami inginkan kari Ikan sebagaimana  di Malaysia.  Tapi  yang dimasaknya ialah Ikan masak kuah yang diletak herba yang janggal bagi kami. Kali pertama makan terpaksa pejam mata untuk telan ikan tersebut. Tapi oleh kerana lapar terpaksa kami  makan juga.

Kalau tidak makan akan lapar, kerana universiti Albayt amat baru ketika itu dan tiada langsung kedai yang menjual makanan melainkan kafeteria sahaja. Walaupun kami sebagai pelajar tajaan KPM yang berduit. Tapi tiada apa yang boleh dibeli. Hanya tunggu hari minggu untuk keluar mencari sumber makanan di pekan Mafraq.

Ramai yang tidak dapat makan menu baru ini. Kami menyesal minta menu ikan ini. Lebih baik menu ayam atau kambing. Pada hari menu ikan tanpa kepala, memang amat kurang pelajar Malaysia yang datang makan. Terutama pelajar perempuan. Hanya ada berapa kerat saja yang ada. Hairan juga kami bagaimana mereka boleh bertahan tanpa makan.

Saya berpegang kepada prinsip makan apa saja yang halal. JIka kita paksa makan, ianya akan menjadi biasa. Bagi saya tiada masalah. Alah bisa tegal biasa. Orang Arab sihat pun makan ikan ini. Sudah tentu makanan disediakan adalah halal dan baik. Cuma ianya tidak biasa dengan tekak Malaysia.

Saya teringat firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 172:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik (halal) yang telah Kami kurniakan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah jika benar kamu hanya menyembah-Nya.”

Firman Allah dalam surah al Maidah ayat 88:

 وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنْتُمْ بِهِ مُؤْمِنُونَ

Maksudnya:

“Dan makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu, yang halal lagi baik; dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”

Ada yang biasa makan ikan ini kah? Apa nama sebenar dia. Tidak pernah jumpa pun di Malaysia.


Tuesday, September 23, 2025

USTAZAH ANGGUN

“Ustaz! Boleh saya nak cakap sekejap”

AAnna Kodoh rakan pensyarah saya di IPG Tawau menggamit saya ketika mula masuk ke pejabat kami. Kebetulan dia berada di ruang pejabat rakan pensyarah perempuan bertentangan dengan ruang saya.

“Boleh. Silakan. Ada apa yang saya boleh bantu Puan.”

Puan Anna Kodoh saya kenali dia sebagai seorang penganut Kristian yang kuat pegaganganya. Namun dia seorang yang berfikiran amat terbuka dan selalu kami berbual tentang nilai dan isu-su ketuhanan.


“Ustaz. Saya rasa sesuatu yang janggallah sekarang. Bebeza dari dulu. NI tentang bakal Ustaz dan Ustazah kita ni. Sebelum ini saya lihat bakal-bakal Ustaz dan Ustazah ni amat sopan dan beradab. Pakaian mereka terutama bakal Ustazah terserlah ciri ustazahnya. Selalu mereka bertudung bulat, kalau pakai  tudung jenis yang jelas menutup aurat.”

“Pemilihan pakaian mereka pun lebih ‘daring’ sekarang. Sama macam orang lain dah. Susah kita nak bezakan antara guru bidang lain sekarang. Pergaulan mereka dalam kelas pun macam terlalu mesra dengan lelaki.”

“Mungkin mereka mahu kelihatan cantik dan anggun. Tapi macam tak kena kan?”

Panjang luahan Puan Anna pada saya. Saya hanya menganggukkan kepala mengiyakannya.  Saya pun agak sedar tentang perubahan ini.

“Itulah cabarannya sekarang Puan Anna. Itu yang kami risaukan.”

“Kita harap mereka yang menjadi contoh kepada pelajar dan masyarakat.”

“Ustaz dan rakan-rakan kena fikir dan buat sesuatu. Kami dalam kalangan Kristian pun mempunyai masalah yang hampir sama. Ramai yang tahu nilai dan ajaran tapi dari segi amalan. Aduh….”

Itu dialog hampir 20 tahun lampau.

Saya teringat dialog ini bila melihat keadaan sekarang. Ianya semakin berleluasa. Kadang kadang pakaian ustazah kita lebih menyerlah dari orang lain. Mungkin ada yang mengatakan pakaian syaratnya menutup aurat.

Tapi hakikatnya  pernah ternampak yang bertudung nipis, tidak menutup dada, berbaju agak sendat. Kadang-kadang ada yang kita sendiri tersipu untuk melihatnya. Pakaian sekarang dipilih untuk kelihatan anggun dan menarik, bukan lagi menjaga maruah.

Guru saya pernah berkata jangan pandang enteng pada pakaian. pakaian menggambarkan haibah dan kehebatan. Kita lihat banyak kerjaya hebat dengan uniform khas. Polis, tentera, Doktor, Jururawat dan pelbagai lagi.

Tidak boleh bayangkan jika Polis terafik, polis biasa, tentera hanya memakai pakaian biasa.

Begi juga dengan ustaz dan Ustazah perlunya menjaga etika pakaian dan pergaulan.

Apa pandangan ada semua? Adakah pandangan saya dan Puan Anna ini salah?

Friday, September 12, 2025

AMAT BERAT MEMBUKTIKAN KEYAKINAN PADA JANJI ALLAH

 Solat subuh pagi jumaat ini imam membaca surah al Sajdah. Ayat ke 12 berbunyi

وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلْمُجْرِمُونَ نَاكِسُوا۟ رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَآ أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَٱرْجِعْنَا نَعْمَلْ صَٰلِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ


Dan (alangkah ngerinya) jika engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka (merayu dengan berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Kami telah melihat dan mendengar (kebenaran), maka kembalikanlah kami (ke dunia), supaya kami dapat mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin’.” 


Saya teringat ketika saya berbual dengan almarhum Ustaz Yahya, bekas pensyarah IPG  di utara tanah air. Dia mengeluh tentang pelajarnya yang amat berat untuk hadir solat subuh berjemaah di Masjid. Katanya:

“Saya sedih mengenangak keadaan pelajar yang tidak yakin dengan janji Allah”

“Mereka tidak yakin bahawa Janji Allah akan mengazab orang yang berberdosa.”

“Mereka rasa selamat dari azab Allah hanya dengan solat lewat di bilik sedangkan Allah telah menjanjikan pelbagai pahala yang bernilai bagi mereka yang bermujahadah solat di masjid.”

“Mereka dan kita semua perlu yakin bahawa bila sudah sampai di akhrat nanti sudah terlambat. Tak ada lagi peluang   kembali ke dunia untuk  berbuat amal soleh.”

Saya hanya mengangguk, bersetuju dengannya..

“ah..IPG saya pun sama. Tempat saya ni lagi menggerunkan. Mereka semua bakal ustaz dan ustazah. Mereka semua dari aliran agama  dan ilmu agama penuh di dada.”

“Tapi yang datang masjid berapa kerat saja.”

Saya mengenali arwah Ustaz Yahya ini semenjak di Jordan lagi. Azam dan tekadnya amat kuat. Dia banyak memberi inspirasi kepada saya. Katanya lagi

“Kita belajar definisi iman ialah apa yang diyakini dengan hati, dituturkan dengan lisan dan dibuktikan dengan perbuatan. Kalau ikutkan takrif ini  pelajar kita masih tidak sempurna iman mereka. Mereka masih tidak mampu membukitkan keyakinan mereka dengan tindakan mereka dalam kehidupan.”

Panjang syarahan Arwah. Ya. Itulah dilema kita sebagai umat Islam. Kita semua berada pada titik yang amat lemah. Iman hanya sekadar tahu dan dituturkan tetapi tidak dapat dibuktikan. Tempat saya pun sama juga. Pelajar disini ratanya dari sekolah agama dan maahad tahfiz. Sepatutnya tahunya pada ilmu itu sudah cukup. 30 juz al Quran kemas di dalam dada..

Mereka ini yang kita harapkan untuk mendidik generasi terusnya tentang Islam yang bukan semata-mata hukum fekah yang membicara tentang hukum. Mereka juga akan mengajar tentang akhlak dan aqidah yang berteraskan keyakinan kepada Allah dan janjinya tentang ganjaran di akhirat. Kalau gurunya sendiri tidak yakin, bolehkan ia mengajar hal itu kepada muridnya. Itulah persoalan yang besar kita perlu muhasabah.

Tetapi. Itulah cabarannya. Patutlah Yahudi na bebas berleluasa membantai umat Islam. Umat Islam ramai tetapi ianya hanya sekadar buih banjir. Tidak memberi manfaat ataupun kesan kepada bukan saja kepada umat seluruhnya. Bahkan kepada diri sendiri pun tidak mampu.

Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada kita semua.

 

Thursday, September 11, 2025

NON MUSLIM BANTU KEJUT SOLAT SUBUH!

Banyak kali juga saya terdengar suara-suara yang mengatakan bahawa jangan libatkan non muslim dalam buat kerja baik.   Orang Islam mesti bersatu dan bekerjasama sesama muslim dalam semua bidang. Tidak kiralah ekonomi,  pendidikan,  kemasyarakatan, poltik dan sebagainya. Non Muslim perlu dihindari dan dianggap sebagai musuh  bagi orang  Islam. 


Saya teringat pengalaman saya  di Sabah ketika bertugas di  SMK Elpora , Sandakan. Pada awalnya  hanya tidak sampai 10 orang pelajar yang solat maghrib dan isyak di surau.   Pelajar hanya solat atas kesedaran sendiri.   Saya berpakat dengan beberapa orang pelajar untuk kempen solat berjamaah di surau sekolah dan saya akan  memberi kuliah maghrib  setiap malam.

Hampir setiap hari saya datang awal untuk ke asrama dahulu menjemput  pelajar ke surau. Setelah beberapa   minggu    ketika di bilik guru,   Cikgu Oswald, warden asrama bertemu dengan saya. 

“Ustaz tak perlu datang cari pelajar di asrama.”

“Kami akan bantu ustaz kerah pelajar asrama ke masjid waktu magrib, dan subuh.”

“Saya dan Leony dah berpakat  akan memastikan asrama kosong dari pelajar muslim antara waktu maghrib isyak dan subuh.”

“Yang ada di asrama  tu  bukan muslim lah.” 

Memang selepas itu mereka betul-betul membantu.  Surau sekolah yang kami namakan ‘Masjidil Aqsa’ penuh dengan pelajar.   Pelajar juga diwajibkan solat subuh di  Masjid al  Aqsa. Walaupun saya tidak hadir waktu subuh.  Pelajar memberitahu saya  bawa warden akan kejutkan awal dan pelajar perlu ada di masjid sebelum azan berkumandang.

Satu ketika, bilangan pelajar hadir masjid tidak mencukupi jumlah pelajar muslim di asrama. Sedangkan kedua warden itu sudah mencari di setiap ceruk asrama namun tidak dijumpai. Sehinggalah  mereka dapat mengesan nama pelajar yang tidak hadir solat  dan disoal siasat. 

Pelajar tersebut telah membuka cermin tingkap  keluar ke beranda belakang untuk tidur berlapikkan kain . Dia memasangkan semula kepingan cermin tingkap agar dapat mengaburi  mata  warden ketika mencari dia di dorm  asrama.  Itu dilakukan semata-mata tidak mahu hadir solat dimasjid. Dia sanggup menggadai nyawa dengan  tidur diberanda belakang di tingkat tiga yang tiada penghadang .

Bayangkan kalau dia bergolek ketika tidur boleh terus jatuh kebawah. Pelajar  itu telah dikeluarkan dari asrama setelah berdegil dan berkeras dengan sikapnya. 

Begitu juga ketika waktu solat jumaat.   Guru-guru yang membantu saya  mencari pelajar yang ponteng solat   jumaat adalah guru-guru Cina. Mereka akan   berjalan  sekitar sekolah menyemak tandas,  bilik-bilik kelas untuk memastikan pelajar muslim   tidak ponteng solat jumaat. Bila saya masuk ke bilik guru usai solat jumaat, pelajar muslim yang telah ditangkap tadi sudah sedia dikumpulan untuk menerima hukuman.  

Apa yang saya ingat ialah guru-guru non muslim amat tegas dan setiap minggu membantu saya mendisiplinkan  pelajar muslim agar patuh kepada agama.

Begitu juga ketika bertugas di IPG Tawau.  Walaupun pelajar lelaki muslim tidak ramai tapi jika  semua pelajar hadir ke surau akan memenuhi dua saf juga. Tapi biasanya bilangan yang hadir tidak melebih 10 orang pun. Jadi setiap pagi saya ke asrama untuk mengetuk setiap bilik yang tertera nama muslim untuk mengejut mereka solat subuh.  Mendengar ketukan bilik yang keluar ialah pelajar non muslim dari bilik lain.

“Ustaz. Boleh saya bantu kejutkan kawan-kawan muslim ?” Tanya salah seorang dari mereka.

“Kami sudah kenal mana satu bilik pelajar muslim.”

“Boleh. Alhamdulillah.”

Dua pelajar non muslim yang selalu bantu saya untuk kejutkan pelajar. Edward dan Petrus (bukan nama sebenar) setiap hari    bersama saya kejutkan pelajar asrama.   Walaupun  solat subuh   sudah dimulakan pun mereka masih  mengejutkan rakan mereka untuk solat. Semoga Allah merahmati mereka berdua . Saya mendapat khabar salah seorang dari mereka sudah mendapat hidayah dan telah kembali kepada fitrah.

Peranan non muslim dalam dakwah ini  telah ditunjukkan oleh Rasulullah . Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah , Rasulullah telah menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqat sebagai penunjuk jalan ke Madinah. Walaupun hijrah itu kerja besar dan perlu kerahsiaan tertinggi demi keselamatan, tatapi rasulullah masih mengambil khidmat non muslim atas dasar kepakaran dan pengalaman.

Ini adalah satu isyarat yang  penting bagi kita dalam menjalankan kehidupan seharian. Kita  boleh hidup bersama dengan non Muslim dan saling bantu membantu memenuhi keperluan. Pada masa yang sama kita boleh sampaikan dakwah dan kesedaran kepada mereka. 

Kita perlu melihat  Non muslim adalah pelanggan kita dalam dakwah.   Jangan sisih mereka. Jangan musuhi mereka.  Bergaullah dengan mereka setiap ketika. Sampai fahaman Islam kepada mereka. Itu tugas setiap orang  Muslim.


Wednesday, September 10, 2025

CABARAN MENGURUSKAN PELAJAR BIDANG AGAMA!

 Saya hanya berkhidmat di IPG Tawau setahun setengah sahaja.  Antara pengalaman manis saya di sana  ialah pengarah wajibkan pensyarah Agama Islam wajib menjadi kem komandan Program Bina Insan Guru  (BIG). Kalau tak silap ingatan saya dalam tempoh setahun setengah itu 4 kali saya telah diberi amanah menjadi kem komandan.


BIG diwajibkan kepada pelajar sekali dalam tempoh pengajian, tidak kira peringkat Ijazah atau diploma. Saya  telah menjadi kem komandan bagi pelajar Program Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris,  KEMAS, Pendidikan Islam dan  mengikut ambilan  tahun tertentu.

Kerja saya tidak susah.  Kerja awal  seperti kertas kerja, bajet dan tempahan tempat semuanya dibuat oleh Hal Ehwal Pelajar. Kerja saya menerima  pelajar pada hari program dan perlu memastikan semua pelajar mengikut jadual program yang telah ditetapkan.   

Dalam perjumpaan taklimat pertama  pengulu dan  penolong penghulu dilantik. Mereka diberi tanggungjawab untuk menguruskan semua  rakan-rakan mereka. Saya hanya menekankan patuh kepada arahan ketua,  perlu berada di tempat yang telah ditetapkan mengikut masa yang telah ditetapkan. Jangan ada sesiapa ingkar.  Setiap aktiviti yang  ditetapkan  bertujuan melatih dan mendidik bakal guru dalam alam pekerjaan nanti.  Keperihatinan, tanggungjawab,  Profesionalisma, sikap dan sebagainya. 

Alhamdulillah saya  tidak mempunya masalah  mengurusankan pelajar TESL, Bahasa Melayu dan  apa saja bidang lain. Mereka amat patuh kepada peraturan, masa dan panduan. Saya amat seronok  bersama  mereka. 10 minit sebelum azan subuh semua sudah bersedia di dewan tiada yang lewat. Bilal dan  Imam tahu peranan mereka. Begitu juga dengan ketepatan masa program. Pergaulan antara lelaki dan perempuan juga terkawal. Semuanya patuh pada arahan dan panduan.

Namun bila saya diberi tanggungjawab menguruskan   guru diploma untuk  guru agama yang rata-rata  adalah keluaran Timur tengah dari pelabagai negara dan sebahagiannya dari Universiti tempatan.  Suasana telah berubah.

“Eh..  kenapa ada  20 orang ja   kat dewan ni. 10 min lagi mahu masuk waktu subuh. Mana yang lain?” 

Tanya saya kepada penghulu . Biasanya 10 minit sebelum subuh penghulu akan menjemput saya dibilik dan memaklumkan  bahawa semua pelajar telah siap sedia. Kali ini tiada. Saya sendiri turun melihat keadaan . 

“Mereka sedang bersiap-siap ustaz.”
“Ramai  beratur masuk tandas.”

“Ada  yang uzur ustaz.. tak boleh  solat”

Bila dah  masuk waktu solat. Bilal yang telah ditetapkan tiada.

Paling teruk  dalam salah satu siri BIG guru agama. Imam solah subuh tidak dapat di kesan. Semua tempat sudah dicari, Khemah, Tandas,  Dapur. Kami jumpai dia bersembunyi di sebalik bas IPG.

“Maaf Ustaz.. saya tidak boleh jadi  Imam solat. Saya tak biasa jadi imam untuk orang seramai ini.”

Aduh… pelajar ini graduan al Azhar boleh menggunakan alasan  pelik ini. Sedangkan pelajar bukan agama menerima dengan patuh walaupun kurang berilmu.

Orang yang sama juga mempertikakan peraturan tidak boleh memakai Jeans sepanjang program.

“Kenapa tak pakai Jeans ustaz? Pakai itu menutup aurat juga.”

Aduh.. susah mahu terangkan kepada dia dan juga pelajar lain tentang etika pakaian dan rasional peraturan   yang telah ditetapkan. 

Ketika aktiviti  mereka persoalkan kenapa bercampur antara lelaki dan perempuan dengan alasan bercanggah dengan ajaran Islam. Jawapan mudah saya ialah  melatih mereka untuk   masuk dalam dunia sebenar di alam pekerjaan dan masyarakat nanti . Mereka perlu mengawal diri mengikut batas pergaulan berdasarkan panduan Islam.   Susah juga mereka  mahu  menerima . Namun banyak kali juga saya terpaksa tegur apabila melihat terlebih mesra  dan melebihi batas.

 

Pernah satu kali saya arahkan mereka terjun semula ke sungai dan berkayak  ketengah laut selamatkan ahli kumpulan perempuan  yang mereka tinggalkan. Mereka mesti balik bersama  dan pastikan ahli kumpulan selamat sampai terutama perempuan. Bukan bermaksud tidak boleh bergaul dengan perempuan jadi mereka diabaikan dan ditinggalkan untuk selamatkan diri dalam keadaan genting.

 

Amat mencabar melatih  bakal guru yang berlatangkan pendidikan agama. Mereka perlu dilatih untuk mengikut peraturan dan paduan  yang telah ditetapkan. Menepati masa,  merancang sesuatu, memastikan objektif tercapai. Patuh kepada ketua dan pentadbir. Tapi tetap sabar membimbing mereka.

 

Ketenagangan saya terganggu. Adakala terpaksa ambil panadol menguruskan mereka. Kadang-kadang saya merindui dan tertunggu untuk menguruskan BIG bukan dari bidang agama. Semoga kita dari golongan agamawan ini mampu mengubah sikap kearah lebih baik. Insya Allah.


Tuesday, September 09, 2025

HIDUP ATAS DUNIA NI SEMENTARA, HIDUP DI AKHIRAT KEKAL ABADI

 Itu antara perbualan yang saya  dengar antara  seorang  pendakwah tabligh  berwajah Pakistan dengan dua orang pemuda Arab  di halaman masjid selepas solat isyak di Masjid Nur al Hidayah, Langkawi. Saya dan kawan saya Dr Azmi  mengambil peluang solat Isyak di Masjid ini yang  berdekatan hotel penginapan kami di Hotel Langkasuka, Langkawi.

Pemuda Arab tadi solat bersebelahan dengan saya ketika solat Isyak tadi memakai kain pelikat yang tidak kemas. Memang Arab  tidak biasa memakai kain pelikat ini melainkan Arab Yaman. Biasanya Arab  akan memakai jubah atau seluar sahaja ketika  solat di masjid.

Dr Azmi memberi tahu saya dialah  membantu dua pemuda Arab  tadi memakai kain pelikat. Ketika  masuk ke masjid dia terdengar ada  jemaah masjid meminta dua pemuda Arab tadi memakai kain pelikat kerana mereka berdua hanya  berseluar pendek aras lutut. Walaupun menutup aurat, ianya  amat janggal bagi masyarakat  Malaysia.

Selepas selesai  wirid  dan doa saya melihat dua pemuda Arab tadi setia menuggu sehingga semua selesai.  Biasanya   menjadi budaya Arab tidak  duduk berwirid  apatah lagi berdoa bersama imam. Mereka biasanya akan terus bangun berlalu selepas solat atau  berwirid atau berdoa secara bersendirian. Tapi kali ini berbeza.

 Saya baru perasan bahawa  ada beberapa  jamaah tabligh   di masjid tersebut. Rupanya mereka sedang berkelana di masjid ini. Dua  orang pemuda Arab tadi  telah dijemput oleh mereka sebelum ini agar hadir solat ke masjid. Patutlah mereka tidak bersedia dan hadir dengan pakaian yang tidak sesuai untuk solat.

Sambil keluar masjid saya terdengar perbualan dalam bahasa Arab. Pemuda  tabligh Pakistan itu menerangkan dalam bahasa Arab   tentang kewajipan orang Islam.

“Kita sebagai hamba Allah perlu jaga solat sebagai tanda syukur.”

“Kita perlu  taat kepada Allah setiap masa.”

“Kita hidup atas dunia ini hanya sementara, hidup di akhirat kekal abadi.”  

“Jangan tinggalkan solat walau dimana kita berada.”

Saya  melihat dua pemuda   Arab mengangguk anggukkan kepalanya dan tekun mendengar.

Saya kagum dengan jamaah tabligh. Mereka amat istiqamah dan berani dalam dakwah. Mereka mempiunyai kekuatan untuk menyampaikan  dakwah kepada sesiapa sahaja. Tidak hairanlah ramai  bukan Islam tertarik kepada Islam dengan dakwah mereka.

Orang  islam sendiri ramai yang berubah dan bertaubat  kembali kepangkal jalan kerana usaha mereka. Walaupun mereka ini dipandang sinis oleh   beberapa pihak sehingga dilarang tidur dimasjid, Mereka tetap istiqamah menjalankan kerja dakwah. Banyak kejayaan mereka hasil  istiqamah mereka.

Kita semua ini  yang kadang-kadang memandang sinis dan tidak bersetuju dengan gerakan ini perlu muhasabah diri   sendiri. Apakah  sumbangan kita kepada dakwah? Berapa ramaikah  orang yang mendapat hidayah atas usaha kita.

Apa  yang kita lihat kekurangan  jamaah ini boleh kita baiki. Apa yang baik  kita bantu dan sokong. Semoga Islam   ini  dapat disebar luaskan kepada semua insan di atas muka bumi ini.


SATU AKTIVITI PELBAGAI FAEDAH

 “Jom naik motorsikal”

Pelawa seorang lelaki  dalam 70an kepada saya ketika saya sedang berjalan kaki ke masjid. Dia yang berbaju kameja berkain pelikat  memakai kopiah putih asalnya melepasi saya hampir 20 meter. Saya melihat dia berhenti dan  berpaling kepada saya. Saya sudah faham bahawa dia sedang menunggu saya untuk menumpangkan motosikalnya  kemasjid.

Saya melihat henset saya  dan melihat aplikasi goggle menunjukkan jarak 400meter lagi ke masjid.

“Tak apa. Saya nak berjalan kaki.  Saya mahu cukupkan langkah saya pagi ini” . Saya menolak baik sambil menunjukkan henset saya yang tertera  maklumat langkah dan  jarak.


“Saya pergi dulu”
. Dia berlalu pergi.

Di Langkawi saya menginap di Hotel Langkasuka berhampiran Dayang Bay dan juga Menara Maha. Memang sudah menjadi kebiasaan saya bila kerja luar akan mencari masjid terdekat untuk  Subuh juga waktu lain jika berkesempatan.

Di samping  mengejar pahala solat subuh berjamaah , saya juga mengambil peluang untuk ‘briswalk’ membakar lemak dan kalori.  Jarak dari Hotel Langkasuka ke masjid terdekat iaitu Masjid al Hihadayah hanya 1.1km sahaja. Ia memerlukan 15 minit perjalanan dan hanya membakar 54  unit kalori sahaja.

Perjalanan  jalan kaki saya pergi dan balik  ke Masjid al Hidayah hanya membakar 120 Klc.    Ia tidak membakar keseluruhan kalori sekeping roti canai yang saya makan semalam yang menyamai 300klc. Untuk membakar  keseluruhan kalori sekeping roti canai saya mesti berjalan sejauh 6km.

Disamping membakar kalori  setiap langkah ke masjid telah dijanjikan pahala oleh Allah taala. Berikut adalah hadis Nabi yang menceritakan tentang ganjaran pahala setiap langkah menuju ke masjid:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ قَالَ:
«
مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ»
رواه البخاري ومسلم

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda:
"Sesiapa yang pergi ke masjid pada waktu pagi atau petang, Allah akan menyediakan baginya tempat tinggal (jamuan) di syurga setiap kali dia pergi pada waktu pagi atau petang."
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ada juga riwayat lain yang menekankan setiap langkah ke masjid dihapuskan dosa dan ditinggikan darjat:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ:
«
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيُؤَدِّيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خُطُوَاتُهُ إِحْدَاهَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالْأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً»
رواه مسلم

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda:
"Sesiapa yang berwuduk di rumahnya, kemudian dia berjalan ke salah satu rumah Allah (masjid) untuk menunaikan fardu daripada fardu-fardu Allah, maka setiap langkahnya yang pertama akan menghapuskan satu kesalahan, dan langkah yang lainnya akan mengangkatnya satu darjat."
(Hadis riwayat Muslim)

 Jadi,  Hadir solat berjamaah di masjid dengan berjalan kaki mempunyai banyak manfaatnya. Pahala solat   subuh berjamaah,  membakar kalori agar lebih sihat, dapat menggurkan dosa  dan digantikan pahala. 

Monday, September 08, 2025

BANTU SAYA DAPAT PAHALA SOLAT BERJAMAAH

Selepas solat zohor di  masjid Bilal bin Rabah, saya dan rakan-rakan berehat dibahagian belakang masjid  sementara menunggu kuliah seterusnya sebelah petang. Masjid Bilal bin Rabah  ini terletak di tengah kawasan Universiti al Albayt bersebelahan bangunan  pentadbiran. Ianya agak jauh dari dewan kuliah. 

Masjid ini  menjadi tempat kami berehat pada waktu zohor atau asar usai kuliah atau menunggu waktu  menunggu kuliah seterusnya. Menjadi  budaya di sini walaupun solat  berjamaah bersama imam rasmi sudah selesai, solat jamaah lain akan dimulai semula secara berganti ganti dan adakala bersambung-sambung sehingga ke bahagian belakang masjid.

Hari itu, waktu Zohor sudah agak lewat. Beberapa siri solat jamaah sudah selesai.   Tiada lagi jemaah  baru yang ada. Tiba-tiba saya lihat Dr Abdul Qadir al Saadiy masuk ke masjid. Dia memandang kiri dan kanan mungkin mencari jemaah solat yang dia dia boleh ikuti. Namun tiada.   Semua orang yang ada di masjid sudah solat.

Tiba tiba dia datang ke arah saya  dan mempelawa  untuk solat bersamanya.

“Abdullah, taal solli ma’ei”  ( Abdullah, mari solat  bersama saya)

“Sollaitu, alhamdulillah” (Saya sudah solat) Saya menjawab sambil tersenyum.

“Halla tusaaidani ala solat al jamaah wa ahsul al ajr!” (Bolehlah awak bantu saya untuk solat berjamaah dan dapat pahala!)

Mendengar kata-kata itu saya terus sanggup  dan bangun  untuk solat bersama Dr Abdul Qadir. Saya berdiri disebelahnya sebagai makmum sehinggalah  ke rakaat ke tiga barulah ada jamaah lain datang solat besama kami.

Hari ini saya dapat satu ilmu yang baru . Boleh solat kali kedua  dengan tujuan untuk membantu atau memberi peluang orang lain untuk dapat pahala solat berjamaah.  Saya bertanyakan  tentang keadaan  ini kepada  Dr Abdul Qadir. Dia memberitahu saya bahawa solat saya  kali kedua itu dapat pahala sunat kerana  solat yang pertama dikira sebagai  melunaskan wajib.  Itu antara pelauang dan cara untuk mendapat pahala lebih.

Ia termasuk dalam bab sadaqah  kerana ada hadis yang menyebut tetang  solat kali kedua ini.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ:
جَاءَ رَجُلٌ وَقَدْ صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: مَنْ يَتَصَدَّقُ عَلَى هَذَا فَيُصَلِّيَ مَعَهُ؟ فَقَامَ رَجُلٌ فَصَلَّى مَعَهُ.

Daripada Abū Sa‘īd al-Khudrī RA berkata:
“Datang seorang lelaki (ke masjid) setelah Rasulullah selesai solat. Lalu Baginda bersabda: Siapakah yang mahu bersedekah kepada lelaki ini dengan menemaninya solat? Maka berdirilah seorang lelaki lalu solat bersamanya.”

Dr Abdul Qadir menyambung nasihatnya lagi…

“Jika kita melihat seseorang yang mencari orang lain untuk solat bersama untuk berjamaah, amat lah baik kita bantu dia.  Sudah pasti membantu orang  lain dapat pahala  jamaah  adalah amalan baik yang  berhak dapat pahala.”

“tidak timbul lah  isu mempermaikan solat kerana solat  wajib dua kali”

 

Itulah antara inti perbualan saya dengan Dr Abdul Qadir al Saadiy.  Mulai hari itu banyak kali saya mengamalkan solat kali kedua ini semata-mata ingin mengambil peluang untuk mendapat pahala. Beberapa kali juga saya meminta pelajar atau adik saya  solat  bersama saya walaupaun mereka telah solat.  Banyak kali juga saya solat kali kedua semata-mata ingin membantu orang lain.

Alangkah indahnya ajaran Islam.  Membuka peluang untuk saling untuk membantu  dan prihatin  terhadap saudaranya agar dapat hasil yang lebih baik dalam kehidupan seharian. Marilah kita sama-sama prihatin tentang hal ini dan  jadikan ia sebagai budaya kita seharian.


Thursday, September 04, 2025

JAGALAH PANDANGAN, JAGALAH MARUAH

Tidak ramai pelajar Arab yang mengambil jurusan Bahasa Arab dan kesusasteraannya bersama kami di Universiti  al Aalbayt. Pelajar Melayu lebih ramai. Kalau dalam  kelas biasanya akan dipenuhi oleh 80   peratus pelajar Malaysia. Manakala bakinya adalah orang    tempatan Jordan dan beberapa orang asing  yang dari Turki, Albania, Afrika dan sebagainya. 



Satu hari ada    pelajar perempuan Arab menegur saya   ketika saya kami sedang menunggu pensyarah masuk memulakan pengajian. Kebetulan kerusi disebelah saya kosong dan dia duduk  disebelah. Biasanya  pelajar perempuan mengelak duduk disebelak lelaki dialam kuliah ataupun dalam bas. Mereka lebih rela berdiri dari duduk disebelak lelaki.. Kami  amat tahu itu dari kawan arab  dan juga sepanjang pemerhatian kami disini. Kali ini berbeza.

Dia memperkenal dirinya sebagai  dari Mansyiyyah Battoul (bukan nama sebenar, nanti ramai yang akan kenal kalau saya sebut namanya ).    Dia berbadan kecil sama   dengan pelajar Malaysia yang lain.  Bagi saya dia adalah antara pelajar  arab yang cantik dalam kuliah  Adab.

Dia bertanya banyak perkara tentang Malaysia dan bagaimana saya beminat belajar bahasa Arab. Perbualan kami tidak lama kerana pensyarah   masuk kelas dan kami memulakan pengajian. Selepas  itu beberapa kali juga kami bertegur sama. Namun tidak berbual panjang.

Satu hari ketika saya sedang berjalan pulang dari  dari kuliah menuju ke pintu utama Universersiti. Kali ini saya melalaui jalan utama tidak merentas kebun zaitun yang luas. Saya tidak mahu mengotorkan kasut  Kickers yang baru saja di beli  Zarqa.

“Stanna syuwaiya..” terdengar satu suara dari belakang.. Battoul  menunjukkan tanda tangan agar tunggu sekejap .

Saya berhenti  dan  menunggunya sampai dan kami berjalan  beriringan ke pintu utama.  Rupanya dia ada sedikit persoalan tentang tugasan yang diberikan oleh pensyarah.  Dia kurang jelas  tentang penerangan Dr Abdul Rahman al Huweidi tentang tugasan ‘Syair wasit’.

Saya  bercerita apa yang saya faham sahaja.  Dia  arab mestilah lebih faham dari saya.  Jauh juga kami berjalan sehigga sampai ke pintu  pagar utama dan kami berpisah.  Memang budaya Arab dalam kawasan Universiti  pergaulan lelaki dan perempuan dalam dilihat biasa dan kadang-kadang agak melampau . Tapi bila diluar lelaki dan perempuan seolah saling tidak mengenali antara satu sama lain.

Memang saya tidak pernah nampak pasangan ‘cople’ diluar Universiti.  Kalau  saya melihat gadis bersama lelaki. Lelaki tersebut  mungkin suaminya atau  adik beradik lalakinya.  Adalah menjadi satu keaiban jika perempuan bersama lelaki bukan mahram. Itu budaya di Jordan.

Begitu juga dengan Battoul.  Sampai di pagar Universiti dia terus pergi bersama-sama rakan perempuannya.  Tinggal saya berdiri beratur untuk menunggu giliran menaiki  ‘Coaster’.

Tiba-tiba saya terdengar hon kereta. Saya berpaling  dan terlihat semua Mercedes hijau gelap.

Dr Qahtan al Duriy melambai tangannya  kepada saya.   Saya terus menuju ke keratanya menjenguk ke tingkap.

“Bunayya… tafaddhal.. taal maie” (Anakku .. silakan ikut saya).  Dr Qahtan mempelawa saya menaiki keretanya. Dia memang selalu memanggil saya ‘Ibni’.  Saya membuka pintu dan duduk disebelahnyanya.

Selepas  saling bertanya khabar dia membuka cerita.

“Saya lihat kamu berjalan dengan pelajar perempuan tadi..  saya nampak dia berbual mesra dengan kamu.”

Allah.. rupanya ada orang memerhatikan saya berjalan dengan Battoul tadi. Saya mengiyakan saja dan memberitahunya tentang perbualan tadi.

“Oh.. Hati hatilah dengan perempuan.  Aku tidak marah . Cuma perlu beringat dan berhati-hati bila membina hubungan dengan bukan mahram.”

“Ia membuka ruang syaitan menyucuk jarumnya.”

Allah berfirman dalam al Quran

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا۟ مِنْ أَبْصَـٰرِهِمْ وَيَحْفَظُوا۟ فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا يَصْنَعُونَ
(Surah an-Nur 24:30)

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman: hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka.

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَـٰتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَـٰرِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
(Surah an-Nur 24:31)

Maksudnya: Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman: hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka…”

“Jagalah pandangan, jagalah maruah, semoga kamu selamat anakku!”.

Saya hanya terdiam, tunduk mendengar peringat Dr Qahtan yang saya anggap sebagai bapanya yang sangat mengambil berat tentang anaknya.

Saya mengucapkan terima kasih atas teguranya. Selepas itu saya akan mengelak juga terserempak dengan Battoul agar tidak berpeluang lagi berbual dengannya.

Syukur kepada Allah yang telah menghantar segera sesorang untuk menegur saya agar mengawal diri agar tidak hanyut jauh.


Wednesday, September 03, 2025

BUATLAH APA YANG DIA MAHU JANJI JANGAN KAWIN

Beberapa tahun lepas ketika saya masih tinggal di Kota Damansara  seorang wanita menegur saya ketika waktu rehat yang saya hadiri di ibu kota . Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang jemaah masjid tegar dikawasan kejiranannya. Dia mengetahui dari kawannya bahawa saya seorang ustaz dan juga kerap berceramah dan memberi kuliah di masjid dan surau. 

Dia ingin mendapatkan pandangan tentang isu yang membelenggu fikirannya.

“Ustaz! Saya selalu solat di Masjid di kawasan kejiranan saya.”  Dia memberitahun nama masjid tersebut dan memang diketahhui ramai bahawa itu ada masjid elit yang jamaahnya terdiri dari Datuk Seri, Tan Sri, Datuk, Datin dan pelbagai golongan kayangan. Mereka ini adalah golongan atasan dan Jutawan.

“Ustaz tahu kat masjid tu ramai para datin-datin solat kat situ. Mereka ni istiqamah solat jemaah dan juga melazimi kelas-kelas agama.”

“Cuma ada beberapa perkara yang nak tanya ustaz.”

“Apa tu nampak macam serius”. Saya mengubah duduk untuk mendengar dengan lebih baik.

“Saya selalu berbual dengan datin-datin tu semua.Saya pernah tanya mereka datang dengan siapa. Datuk ada sekali kah.”

“Mereka tu biasanya datang dengan geng datin. Suami mereka selalu keluar negeri berpoya-poya. Mereka tanpa segan silu beritahu saya suami-suami mereka tu jutawan berpangkat datuk selalu berpoya dan berhibur di Thailand.”

“Saya tanya mereka tak risaukah mereka melanggan pelacur. Apa jawapan mereka Ustaz tahu?”

Saya menggelengkan kepala.

“Mereka kata tak kisah nak langgan pelacur pun. BIasanya datuk akan melanggan pelacur high class yang mahal. Kalau yang mahal ini lebih selamat. Mereka kata biarlah suami mereka berhibur mereka para datin ada program sendiri sesama mereka.”

“Langsung mereka tidak ada rasa cemburu suami mereka menyimpan wanita lain. Bahkan ada yang bangga menceritakan bahawa suami mereka ada perempuan simpanan yang cantik bak artis. Boleh tumpang cuci mata katanya. Mereka kadang-kadang tidak malu membanding dan berbangga gadis simpanan suaminya lebih cantik dari perempuan simpanan datuk yang lain.”

“Kenapa suami mereka tidak poligami sahaja dengan perempuan tu semua. Jadikan isteri yang halal.” Saya mencelah.

“Itulah masalahnya ustaz. Saya dah tegur mereka. Bukankah sikap begitu dikira menghalalkan zina kan ustaz.?”

“Ustaz tahu apa jawapan mereka? Mainlah dengan seramai mana pun janji jangan kahwin ja. Kalau kawin tahu lah tinggi rendahnya langit mereka akan kerjakan suami mereka.”

“Perkara ini dah jadi biasa diterima dikalangan korporat, geng datuk seri, datuk. Simpan perempuan tanpa kahwin itu sudah jadi kebiasaan.”

“Apa hukumnya Ustaz bagi isteri begini. Menghalang suami berpoligami secara halal, namun redha suami berzina. Bahkan  ada juga kes golongan datin ni, ada penghibur mereka sendiri terdiri dari lelaki muda yang hensem. Suami mereka bayar katanya.”

Saya mengucap panjang mendengar kisah ini. Kali ini saya mendengar sendiri cerita sebegini. Sebelum ini pernah dengar juga cerita tentang golongan korporat kaya ini hidup sebegini. Tidak dinafikan ada juga yang baik dan beriman, banyak menyumbang kepada kebajikan.

“Mereka ni datuk datin ni rajin juga ke masjid. Mereka banyak juga bersedekah menyumbang kepada masjid. Pahala mesti buat juga kata mereka.”

Saya tidak nafikan ramai juga yang berfikiran begini. Mereka menganggap kebaikan yang mereka lakukan boleh menimbus dan mengimbang maksiat yang mereka lakukan.

Begitu juga dengan sikap sebahagian wanita. Mereka amat melenting dan mengamuk bila suami ingin berpoligami, tapi jika suami mempunyai hubungan haram kemarahan mereka tidak setanding bila mengetahui suami berpoligami.

Saya tidak banyak bergaul dengan golongan kayangan ini, jadi saya tidak tahu sejauh manakah isu ini menjadi wabak dalam kalangan mereka.  JIka ada. ini adalah kemungkaran yang perlu dicegah segera. Allah telah memberi penyelesaian. Jangan sekali-kali kita memandang enteng dengan kemurkaan Allah.

Allah sudah berfirman dengan jelas dalam surah al Isra ayat 32

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

“Maka janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”

Janganlah kita menolak hukum Allah demi untuk kepuasan diri sendiri.

Tidak berbaloi bahagia di dunia, merana di Akhirat.


Tuesday, September 02, 2025

JANGAN HIDUP MAHU MAKAN PERCUMA SAHAJA

 Dahulu semasa tinggal dengan Tok Ayah dan Tok Ji di Kampung Gertak Kechupu, saya akan ke Pulau Melaka setiap malam Jumaat dan Sabtu untuk mendengar kuliah Tok Guru  Haji Nik Abdul Aziz Nikmat. Jarak rumah saya ke Pulau  Melaka hanya  sekitar 4 km sahaja. 

Pendengar amat ramai. Saya yang datang selepas Maghrib tidak ada peluang untuk masuk ke masjid. Saya dan kawan saya hanya duduk atas motor sahaja di halaman Masjid. Suara Tok Guru amat jelas kedengaran melalui pembesar suara.

Kelebihan Tok Guru ialah apabila dia membuat kuliah, misalan dan perbandingannya mudah untuk kita hadam dan  menyerap masuk dalam lubuk hati kita. Saya masih ingat antara kata-katanya yang masih terngiang-ngian ditelinga ialah:

“Kita ada mata yang amat hebat. Boleh tengok macam-macam, dengan mata kita boleh bergerak, tengok keindahan alam, tengok perempuan cantik, tengok bunga dan  tonton tv dan macam-macam lagi.  Siapa bagi  tu.. Allah yang bagi.”

“Kita ada telinga. Boleh dengar macam-macam bunyi, boleh dengar lagu, dengan suara bini , suara mak ayah,  Macam -macam boleh dengar.  Cuba bayangkan bagaimana hidup kita kalau bangun pagi telinga kita tidak  dengar satu bunyi pun. Telinga tu Allah bagi.”

“Bangun pagi , hidung kita boleh sedut oksijen, masuk dalam paru-paru. Kita rasa sihat, boleh bernafas.. dengan oksijen. Siapa bagi oksijen tu. Allah..   tak perlu bayar pun. Kat mana-mana ada oksijen. Allah bagi free.”

“Tu belum kira lagi nikmat Allah yang lain. Cukup tengok apa yang ada di badan kita ja. Tak mampu nak kira dah. Allah sebut dalam   Surah An-Nahl, ayat 18
وَإِن تَعُدُّوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَغَفُورٌۭ رَّحِيمٌۭ
Maksudnya: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

 

“Tapi manusia ni jenis lupa diri. Allah bagi free jah semua tu. Dia tak minta pun harta kita. Allah tak minta bayar cukai. Bayar cukai apa. Allah ada kerajaan paling kaya di alam semesta ni. Tak perlu kutip cukai. Dia bagi free semuanya.”

“Allah minta satu benda jah. Mengaku dia tuhan. Taat pada perintah dia  saja.  Apa kemudahan kita ada tak perlu bayar.”

“Masalah kita ni payah benar nak taat pada Allah. Tak yakin dengan Allah. Nak bangun sembahyang pun payah. Nak datang masjid pun payah.  Tapi nikmat Allah bagi dia ambil semua.”

“Ni jenis ore suka makan free.. kalau kita pergi ke kedai. Ke restoran. Makan sedap-sedap. Ambil tambah lagi. Tapi  tak mahu bayar. Hari hari nak makan free. Ore lagu ni , ore tak betul. Tak ada ore suka  jenis orang sebegini.”

“Hidup atas dunia ni tak ada barang percuma. Semua kena bayar. Yang percuma tu Allah bagi tapi dia ada bayaran dia. Orang kafir  tu Allah marah sangat sampai dia masukkan dalam nereka sebab dia tak bayar nikmat dengan ketaatan lah. Nak makan saja jah. Mana boleh.”

“Sama lah dengan kita,   pagi lambat bangun, solat subuh lambat, tidak pergi masjid. Tapi guna mata, kaki, tangan buat benda lain. Itulah orang yang tidak bersyukur. Hati keras . Tidak mengenang jasa.”

Tutur kata dan bicara Tok Guru mudah menusuk kalbu.  Tok Guru lah yang banyak membentuk peribadi saya   dengan mutiara katanya yang indah.   Bukan saya seorang yang terkesan dengan Tok Guru. Sudah pasti Tok Guru sedang menual hasil kerja dakwah di alam barzakh sana.