Wednesday, July 30, 2025

TITIPAN ISTIMEWA..

 Hampir sebulan berlalu pertemuan saya dan Abu Raghib. Jiwa saya semakin tenang. Rutin harian sudah semakin tersusun. Pengajian saya tidak lagi diulit emosi  kacau.

Satu petang ketika saya pulang dari Universiti, sebelum masuk kerumah saya terserempak dengan Firas, kalau tak silap saya dia adalah anak ketiga Abu Raghib. Selepas kami saling bertanya khabar dan saya mahu beredar, beliau memberi isyarat jari sejemput yang memberi isyarat agar tunggu sebentar.


“Stanna syuwaiya, biddi ahki lak syaik. Nasyrab syai hunaak..” (tunggu sekejap, saya mahu cakap sesuatu. Kita minum teh di sana nanti).

Firas meminta saya tunggu sekejap sambil dia menunjukkan bangku dan meja kecil dibawah pokok anggur.

Saya duduk menunggu Firas sambil menikmati pemandangan halaman rumah. Tidak sampai lima minit Firas datang semula menatang dulang kecil dengan dua cawan teh. Dia duduk dan menghulurkan teh kepada saya. Ah.. kali ini syai dengan ‘maramiyah’ sejenis herba yang telah dikeringkan. Miramiyah ini membangkit aroma tersendiri yang agak istimewa dalam teh. Ia menjadi pilihan lain selain na’na’ (pudina).

Kami berbual-bual sambil mengihirup teh. Saya bertanyakan tentang Abu Raghib.

“Saafar ila Saudiayah qabla yaimain..” ( Dia ke musafir ke Saudi sudah dua hari).

“Addal umrah?” (tunaikan umrah) saya meneka.

“Laa…Raafaqa Dana lihnak” (Dia iring Dana ke sana). Wasfi menjawab sambil memandang saya.

“Dana!… Syu maa laha?” (Dana..! Kenapa dengan dia?” saya bertanya ingin tahu.

Wasfi memberitahu saya, sejak beberapa minggu ini keadaan Dana agak berubah. Dia menjadi agak pendiam. Mereka sekeluarga agak risau dengan keadaannya.  Abu Raghib membuat keputusan agar Dana tinggal sementara di Saudi dirumah pakciknya, adik kepada Abu Raghib. Dia bekerja di bandar Yanbu, bandar di tepi pantai. Mungkin Dana akan sambung belajar di Yanbu dan tinggal disana beberapa ketika.

Saya terdiam mendengar perkhabaran ini. Apa yang terjadi kepada Dana?. Firas kemudian mengeluarkan satu sampul dari poketnya lalu diunjukkan kepada saya.

“Dana bitasallam alaik. Hiyye talabit awassel lak haad” ( Dana minta sampaikan salam. Dia minta sampai ini pada awak).

Kami mengubah topik perbualan berkaitan perkembangan bola sepak dan juga sedikit isu politik. Saya meminta izin untuk pulang. Saya memegang kemas sampul titipan Dana. Tebal juga.

Apakah isinya..? Saya tak sabar untuk menatapnya.. Saya berlari ke atas.

No comments: