“Mu dok mana lo ni?”
“Bini mu sihat ke?”
“Suruh anak demo mari jumpa kawe. Kawe nak bagi tips sikit untuk temuduga.”
“Mu makan ubat gapo lo ni?”
“Aku dah tak boleh makan benda manis-manis ni. Allah dah tarik nikmat.”
“Ramai dah saing-saing kita yang tak ada. Lepas ni siapa pula?”
Itulah
antara dialog kami ketika iftar alumni malam tadi. Loghat lama kembali
berbunga, gelak tawa berselang-seli dengan cerita kehidupan. Suasana cukup
meriah dengan pelbagai topik perbualan. Kami bertukar cerita dan berkongsi
perkembangan rakan-rakan lama — yang dekat mahupun yang jauh.
Topik
kesihatan antara yang paling hangat. Masing-masing sudah semakin berusia. Ada
yang berkongsi tips jaga pemakanan, rutin senaman, dan pengalaman berdepan
penyakit. Selain itu, kami berbual tentang rumah tangga, kerjaya, anak-anak
serta cabaran hidup semasa.
Kami
semua saudara. Saudara seagama, satu sekolah, sebaya. Walaupun kini datang dari
pelbagai latar — profesor, pengarah, pegawai, usahawan dan orang biasa — namun
di meja iftar itu semuanya sama. Tiada pangkat, tiada darjat. Yang ada hanyalah
ukhuwah.
Allah
SWT berfirman:
إِنَّمَا
الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ
لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Sesungguhnya
orang-orang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara kedua saudaramu dan
bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.”
(Surah al-Hujurat: 10)
Ayat
ini benar-benar terasa hidup malam tadi. Perjumpaan seperti ini bukan sekadar
makan bersama, tetapi menghidupkan kembali tali persaudaraan yang mungkin lama
tidak disapa.
Ada
yang kali pertama bertemu semula selepas tamat zaman sekolah. Ada yang sudah
bertahun-tahun tidak bersua muka. Yang tidak dapat dinafikan, ramai yang
rambutnya semakin memutih. Wajah semakin dimamah usia. Ada yang sudah bergelar
datuk.
Saat
itu terasa benar bahawa masa berjalan begitu pantas. Ia mengingatkan kami
kepada kematian — hakikat yang pasti ditemui setiap insan.
Rasulullah
SAW bersabda:
أَكْثِرُوا ذِكْرَ
هَاذِمِ اللَّذَّاتِ
“Perbanyakkanlah
mengingati perkara yang memutuskan segala kelazatan (iaitu kematian).”
(Riwayat al-Tirmizi)
Perjumpaan
ini bukan hanya mengimbau kenangan, tetapi juga menyedarkan bahawa hidup ini
semakin singkat dan setiap detik semakin berharga.
Dalam
suasana ceria itu, ada juga kisah yang menyentuh hati. Beberapa sahabat sedang
melalui ujian kewangan. Kos sara hidup semakin tinggi, pekerjaan tidak begitu
stabil. Tanpa banyak bicara, kami sepakat berkongsi kos untuk menampung
beberapa orang sahabat. Tiada siapa mahu melihat saudaranya merasa terbeban.
Sabda
Rasulullah SAW:
مَنْ فَطَّرَ
صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ
الصَّائِمِ شَيْئًا
“Sesiapa
yang memberi makan orang yang berpuasa untuk berbuka, maka baginya pahala
seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang tersebut
sedikit pun.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Mudah-mudahan
sedikit perkongsian itu menjadi saham akhirat buat kami semua.
Banyak
manfaat perjumpaan malam tadi — ukhuwah kembali erat, solat berjemaah bersama,
bertukar pandangan dan pengalaman. Kami ketawa, kami insaf, dan kami bersyukur.
Terima
kasih kepada penganjur dan penyelaras yang bertungkus-lumus menjayakan majlis
ini. Semoga Allah memberkati setiap usaha dan mengikat hati-hati kami dalam
rahmat-Nya.
Iftar
bukan sekadar juadah di meja. Ia adalah ruang menyatukan jiwa.
Dan dalam setiap pertemuan yang ikhlas, ada nilai ibadah yang mungkin tidak
kita sedari.
No comments:
Post a Comment