Wednesday, February 11, 2026

SAYA DI MALAYSIA KAH?

Malam tadi selepas menghirup udara malam sekitar Bukit Bintang di hadapan lobi hotel, baru saya sedar bahawa kad hotel sudah tiada dalam poket. Mungkin ia tercicir ketika saya mengeluarkan henset untuk menggantikan penebat skrin saya yang sudah retak 10 di Plaza Low Yat.

Saya terus ke kaunter untuk mendapatkan kad gantian.
“Sorry, I can’t speak Malay..”
Ujar petugas kacak di kaunter apabila saya meminta kad gantian kerana keciciran tanpa sengaja. Saya terkesima sekejap. Saya merenung matanya sambil mengulang lagi permintaan saya dalam bahasa Ibunda saya tercinta.
Petugas tadi ulang lagi dengan tegas ungkapan tadi seolah memaksa saya menukar bahasa perbualan ke bahasa penjajah. Saya memandang sekeliling dan hati saya bertanya.
“Di manakah aku sekarang?”
“Adakah aku di London?”
Saya teringat peristiwa saya di Istanbul bulan lepas. Ketika menaiki van ke hotel, saya bertanya sesuatu kepada pemandu dalam bahasa Inggeris. Jawapannya mudah.
“No English, Turkish only”
Saya tak jadi bertanya.
Begitu juga ketika saya masuk ke kafe hadapan masjid Eyup Sultan. Penjual hanya mampu menyebut “meat” “cheese” sahaja sambil menunjukkan roti-roti yang dijualnya. Semua urusan jual beli hanya dengan bahasa isyarat.
TPada tahun 2022 ketika saya sedang memandu masuk ke Sepanyol dari Maghribi melalui sempada Ceuta. Urusan di sempadan Maghribi lancar dengan bahasa Arab. Namun bila lepas masuk ke bahagian Sepanyol ,urusan menjadi agak rumit bila bertubi soalan diajukan kepada saya dalam bahasa Sepanyol. Jenuh saya terangkan bahawa saya tidak faham dan akhirnya saya meminta penterjemah.
“Translator please…!”
Bila datang translator barulah urusan saya selesai. Rupanya mereka ingin sijil vaksin sebelum diterima masuk. Masa itu masih lagi musim kovid melanda seluruh dunia. Selepas itu, urusan kastam dengan pemeriksaan kereta juga lancar dengan bantuan penterjemah.
Abang kastam mengucapkan sesuatu pada pada saya sambil senyum. Saya hanya faham
“Amigo.. gracias..” Terima kasih Bro…
Begitu juga ketika saya memandu keluar dari Sepanyol. Letih saya berbicara dengan pegawai sempadan dalam bahasa Isyarat kerana mereka hampir tidak tahu langsung asas bahasa Inggeris.
Begitulah keadaan mereka amat bangga dengan bahasa Ibunda. Amat berbeza dengan apa yang berlaku pada saya malam tadi. Bahasa kita semakin terpinggir di tanah air sendiri.

No comments: