Sunday, May 04, 2025

KRISS 10 : HIKMAH ATURAN ALLAH TERSERLAH

Selepas mendengar berita pencuri motorsikal Ustaz Mutalib telah ditangkap. Saya mengucapkan alhmadulillah. Saya rasa amat bersykur dan gembira kerana terasa bahawa Allah telah makbulkan doa saya dan juga sahabat yang lain tak sampai 24 jam dari peristiwa yang amat menguji keyakinan kami.

Keyakinan yang cuba kami bawa ialah ‘Jagalah Allah pastinya Allah jaga kita’ dan ‘Kunci dulu motorsikal barulah serah pada Allah’. Tetapi apa yang kami rasakan ialah sebaliknya. Kami rasa kami telah jaga solat lima waktu dan berusaha untuk istiqamah berjamaah di masjid. Kami juga berdakwah mengajak masyarakat untuk menjaga perintah Allah. 


Kami juga berdakwah dan berkempen dengan konsep tawakkal yang sebenar iaitu  laksanakan langkah keselamatan kemudian baru serah segalanya pada Allah. Kami yakin dengan firman Allah ayat 2 dan 3 Surah al Talaq

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّهُۥ مَخْرَجًۭا ۝ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُۥ ۚ

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah (baginya)..."
(QS. At-Talaq: 2–3)

Namun kami rasa seolah-olah semakin ditegaskan konsep ini, apa yang berlaku sebaliknya. Allah sebenarnya nak menguji iman dan keyakinan kami terhadapnya. Sejauhmana kami bulat keyakinan kerapada Allah dengan menyerahkan kepadanya semua perkara. Allah nak uji kita adakah kita yakin dengan sebulatnya bahawa Allah yang mengatur semua peristiwa yang berlaku atas dunia ini baik atau buruk.

Sebenarnya Allah ingin menguji iman kami para ustaz yang paling utama disamping ujian kepada orang lain. Watak pencuri itu hanya semata-mata watak sampingan yang diatur oleh Allah untuk menguji kami.

Sekarang terserlah bagaimana aturan Allah bagaimana pencuri itu tergerak hatinya tidak mahu menukar plet nombor motosikal. Tujuan pencuri adalah hampir sama dengan tujuan pemilik motorsikal. Allah mengatur mereka berdua melalui jalan yang sama dan pada masa yang sama. Ini bukan kebetulan biasa. Itu adalah aturan Allah untuk menjadi asbab agar pencuri ditangkap.

Inilah jalan keluar yang Allah telah aturkan kepada kami semua. Selepas pegangan kami diuji dan para ustaz tekad dengan keyakinan pada Allah tidak berganjak walaupun sedikit. Lalu Allah segera memberi jalan keluar. Mungkin selepas ini semua kecurian motorsikal akan terbongkar dan motorsikal kami dapat dikembalikan.

Ini adalah cebisan kecil cabaran  keyakinan kepada hamba Allah yang hina ini. Kalau kita lihat cabaran oleh para nabi lebih besar.

1.       Bagaimana tersepitnya Nabi Nuh berhadapan dengan kaumnya yang menghinanya membina kapal besar diatas bukit.

2.       Bagaimana keadaan perasaan Nabi Musa berhadapan dengan laut apabila diperintah oleh Allah agar menyelamatkan kaumnya dari Firaun dengan memberi jalan arah laut.

3.       Bagaimana keadaan nabi Zakaria yang dihina oleh kaumnya kerana tiada zuriat sedangkan dia adalah kekasih Allah.

4.       Saidatina Maryam yang diuji dengan mengandung Nabi Isa tanpa bapa. Selepas melahirkan nabi Isa jauh dari manusia diperintahkan semula balik ke kampung bertemu masyarakat. Ianya hanya mendedahkan diri untuk cacian dan hinaan.

Banyak lagi ungakapan peristiwa ujian Allah kepada para nabi yang perlu kita renungi. Para nabi juga berdoa, bermunajat meminta jalan keluar dari Allah. Namun jalan keluar yang diberi hanya ketika saat genting. Kalau kita orang biasa yang lemah iman tidak mampu menghadapi saat genting begitu.

Tapi dalam isu kecurian ini Allah telah bagi jalan keluar kepada kami lebih awal. Mungkin Allah tahu bahawa iman kami lemah tak mampu diuji dengan lebih berat lalu diberikan penyelesaian lebih awal sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam ayat 286 Surah al Baqarah :

لَا يُكَلِّفُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..."

Begitulah kehidupan ini . Semuanya diatur oleh Allah. Apa saja yang berlaku, perkara baik atau perkara buruk semuanya adalah aturan Allah Taala yang maha kuasa dan maha bijaksana.  Watak baik dan jahat semuanya menjalankan apa yang telah diaturkan oleh Allah.  Itulah  Kayakinan kepada Qada dan qadar Allah. Kita orang  beriman perlu yakin dan redha dengan aturannya.

Walapun  berlaku perkara musibah atau perkara buruk yang kita tidak mampu fahami hikmahnya. Yakin lah itu adalah ketentuan Allah.  Berserah keapada ketentuannya itu adalah  Iman yang besar ganjaran pahalanya. Allah telah berpesan dalam surah al Taubah ayat 51:

قُل لَّن يُصِيبَنَآ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَىٰنَا ۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

"Katakanlah: Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal."

Allah juga berpesan dalam ayat 11 Surah al Taghabun:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Dan barang siapa beriman kepada Allah, niscaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."
(QS. At-Taghabun: 11)

Ya Allah berilah petujuk kepada kami. Kuatkan Iman kami dalam menghadapi ujian dalam kehidupan ini.

No comments: