Tiba di stesyen bas Irbid, saya dan Rafiq mengambil serfis atau teksi putih untuk ke Dawwar Naseem untuk keruma Ustaz Amin. Sampai dirumahnya kami lihat banyak kasut dan selipar diluar pintu rumah.
Mereka ni ada buat makan makan kah berkumpul ramai-ramai pagi Jumaat ini. Saya dan Rafiq membuat telahan. Boleh makan sedap pagi ini.
Pintu sudah terbuka luas. Selepas memberi salam saya
mendengar laungan suara dari dalam menjemput kami masuk.
Melihat wajah saya
dan Rafiq seorang abang senior mengumumkan ketibaan kami.
“Weh.. sahabat Mafraq datang pungut sumbangan ni. Awal mereka
datang..”
“Sumbangan apa pula ni.. tak ada lah. Kami datang jalan-jalan ja..” Jawab Rafiq
dengan muka selamba.
“Tak apa lah . Kami
terus bagi ja lah sumbangan untuk ahli bayt enta dan sahabat-sahabatnya.”
Celah Ustaz Amin. Dia ni memang suka bergurau. Tapi kali ini wajahnya agak
serius.
Memang pagi tu saya lihat abang abang senior semuanya
berwajah suram. Mereka berkumpul ramai-ramai bukannya ada makan-makan pun. Saya yang masih tidak
tahu pokok pangkal pasal sumbangan tadi bertanya semula.
“Kutip sumpangan
untuk apa ni. Kenapa abang-abang semua nampak serius ja pagi ni.” Saya bersuara kerana sejak tadi hanya memerhatikan Rafiq saja yang berbual.
“Enta tak pergi ke Aqabah ke pagi ni”? Tanya seorang
lagi abang Senior dari terengganu. Jarang
saya lihat kelibat dia di rumah ini.
“Kenapa nak ke Aqabah?” Tanya saya sudah mula cuak.
“Eh enta tak tahu lagi kah? Sahabat ahli bayt enta
meninggal malam tadi. Kemalangan kereta dalam perjalanan ke Aqabah. Semua sahabat
dalam kereta tu meninggal.” Sorang lagi abang senior menyatakan situasi
sebenar.
Saya dan Rafiq berpandangan satu sama lain. Teringat kisah
Zuhdi pagi tadi yang datang ambil pasport sahabat kami berempat di rumah. Dia hanya
bagitahu sabahat kami cedera. Langsung tak bercerita bahawa sahabat kami dah
tidak ada. Mustahil dia melum tahu keadaan sebenar masa itu.
“Kami dapat berita mereka terlibat dengan eksiden sahaja.
Di masukkan ke wad di Aqabah dan akan di dipindahkan ke Amman. Nanti petang
nanti kami ke Amman ziarah mereka di hospital.” Saya memaklumkan kepada mereka apa yang saya tahu.
“Mereka semua meninggal awal pagi tadi sekitar jam 2 pagi.
Kereta mereka melanggar lori rosak yang tak sempat dialih ke tepi jalan. Sekarang jenzah mereka
masih di Aqabah dan akan dibawa ke Amman. Mungkin petang ini atau esok. Pihak
kedutaan akan maklumkan kemudian.”
Saya dan Rafiq terduduk mendegar berita itu. Kami terdiam tanpa
suara. Seorang abang senior datang memeluk saya menenangkan keadaan.
Sungguh tak sangka. Saya hanya menjangkakan sahabat kami
cedera ringan saja. Rupa-rupanya sahabat kami pergi selama-lamanya. Kenapa ia
disembunyikan dari pengetahuan kami.
Saya dan Rafiq minta izin untuk segera pulang ke Mafraq segera.
Kami tidak mampu lagi untuk duduk di situ mendengar macam-macam cerita sedih
keadaan kemalangan. Kesimpulannya mudah. Sahabat kami terlibat dengan
kemalangan ngeri yang meragut nyawa mereka serta merta.
Sepanjang perjalanan dari Irbid dan Mafraq saya dan Rafiq
membisu seribu bahasa. Masing-masing melayan fikiran. Hati masih tak percaya
bahawa Surzaidy, Fahrun, Rashimi, Zainol dan Zikri sudah tiada. Saya masih
terbayang-bayang kelibat Surzaidy dirumah menceriakan suasana.
Mulutnya yang mampu menuturkan
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun…
Allahummaghfir lahum.. warhamhum.. wa aafihim wa’fu anhum…
Perjalanan terasa amat jauh. Tapi mata mampu lelap. Hanya mampu
merenung keluar tingkap melihat rumput-rumput dan bunga-bunga kecil celahan batu
ditepi jalan…

No comments:
Post a Comment