Saturday, October 25, 2025

SAYA TIDAK MINUM BEER

Pada malam kedua  kami di  Bandar Antalya, selepas makan malam di hotel, saya bertanya kepada ahli rombongan  jika ada yang mahu keluar merayau ke bandar.   Semuanya mahu berehat selepas seharian  penuh dengan program. Saya dan rakan sebilik  keluar untuk mengambil angin malam dan melihat kehidupan malam  penduduk di  bandar klasik ini.


Banyak juga kedai-kedai yang tutup.  Hanya bar dan kelab-kelab malam yang masih beroperasi. Saya dan kawan saya menuju ke bahagian tepian pantai apabila melihat di kasawan itu  bercahaya  dengan lampu lampu yang bergemerlapan.

Kami melihat  benteng  yang disusun dengan batu-batu besar sepanjang pantai.  Ramai yang melepak di sana bersantai mengambil angin laut malam. Kami memilih satu tempat yang kosong dan kami duduk mengahadap kelaut  sambil melihat suasana  kapal layar kecil yang disusun di pelabuhan kecil.

Tiba-tiba datang    dua pasang  pemuda dan gadis duduk disebelah kami. Saya mempersilakan mereka duduk. Kami mula   berbual dan berkenalan. Mereka berempat adalah orang turki berkerja sebagai pemandu pelancong.  Mereka berempat sedang bersantai selepas seharian melayan tetamu mereka dari pelbagai negara.

Mereka amat teruja mendapat tahu saya dari Malaysia.

“Malaysia dekat mana ya?” tanya gadis  yang memakai tshirt terlondeh  menampakkan bahu.

Rupanya pengetahuan geografi mereka kelaut. Jenuh saya terangkan di mana terletaknya Malaysia.

“Malaysia di apit oleh Singapura dan Thailand. Singapuran di Bawah dan Thailand diatas”.  Dengan penerangan ini barulah mereka dapat gambaran kedudukan negara Malaysia.

Banyak  tajuk kami berbual malam itu. Mereka jenis banyak bertanya terutama tentang Malaysia yang amat asing bagi mereka. Rupanya ketika kami rancak berbual seorang pemuda tadi telah pergi  bar dan  membawa sesuatu untuk kami.

“Nah.. silakan kita minum sambil sembang.”  Pemuda berambut pacak mengagihkan tin macam  pepsi  atau coca cola kepada kami semua.

Saya menyambutnya dan  membelek belek tin tersebut. Dalam rembang malam di bawah samar lampu yang jauh saya lihat tin itu berwarna hijau tertulis ‘TUBORG’. Telinga saya sudah terdengar  beberapa bunyi ‘tap’ . Kawan baru Turki saya sudah   siap membuka tin dan mula menghirup.

“TUBORG  ni sejenis  beer kan? Macam Carlsberg?” Tanya saya  sambil tangan masih membelek-belek tin tersebut.

“Ya.. Beer. Minumlah .. kami belanja.”  Jawab pemuda tadi.

Aduh.. dia belanja saya arak rupanya. Nasib baik tidak terus buka . Hampir saya terminum .. tekak tengah haus.

“ Maaf.. saya tidak minum arak. Saya muslim.”  Saya menjawab dengan nada tegas.

“Ala.. Kami juga muslim..  kami minum ja. ..” Gadis rambut perang sebelah saya menyampuk sambil berpaling kearah saya.

Semua orang Turki minum.. awak boleh tengok semua orang minum”. Gadis baju terlondeh pula mencelah.

Bro.. minum .. nanti lepas ni bro taubat la..”

Nah  bertubi-bertubi mereka memujuk saya secara berjamaah…

Maaf.. saya tak dapat minum. Terima kasih lah kerana membelanja saya.” Saya   menolak sambil menghulurkan kembali   Tuborg  tersebut kepada pemuda rambut pacak tadi. Dia menyambutnya.

“Saya mahu jadi muslim yang taat.  Saya mahu minum juga di akhirat nanti. Kat sana lagi sedap.”

“Apa yang saya tahu, kalau siapa yang minum beer di dunia, Allah haramkan dia minum di akhirat nanti. Lagi rugi.  Beer di akhirat lagi sedap dan percuma. Itupun kalau dapat masuk syurga.”

Mereka semua ketawa mendengar  jawapan saya.  Kami menyambung perbualan hingga lewat malam. Dari cerita mereka, saya dapat simpulkan bahawa bahawa masyarakat Islam Turki sudah menyimpang jauh dari Islam. Mereka tidak lagi amalkan Islam. Hanya sekadar nama. Namun saya yakin  bahawa dalam hati mereka masih ada iman pada Allah yang  akan menyelamatkan mereka di akhirat nanti.


Friday, October 24, 2025

TOLONG PEGANG CHAMPAGNE INI SEKEJAP

 Itu permintaan penumpang yang duduk di sebelah saya ketika dalam penerbangan dari Beirut ke Kuala Lumpur satu ketika dulu. Peristiwa ini berlaku pada tahun  1996, ketika itu saya pulang bercuti ke Malaysia melepaskan rindu kepada keluarga selepas  ke Jordan menuntut ilmu  sejak Ogos 1994. 


Saya memilih untuk menaiki penerbangan MAS yang baru saja membuka laluan baru dari Kuala Lumpur ke Beirut, Lebanon. Namun saya  perlu menaiki  penerbagan Middle East Airline (MEA)   syarikat penerbangan  rasmi Lubnan dari Amman ke Beirut sebelum terbang dengan MAS ke Kuala Lumpur.

Penerbangan dari Beirut selepas zohor dan  penumpang ketika itu tidak ramai. Kapal nampak kosong.  Tak sampai 50 orang penumpang rasanya.  Saya seperti biasa memilih  untuk duduk ditepi tingkap untuk menikmati pemandangan bandar Beirut ditepi laut yang amat indah.

Penumpang di sebelah saya  berbangsa Arab  separuh umur memakai t shirt dan berselipar sahaja.   Setelah berkenalan dia  memberitahu  bahawa   dia Arab Lubanan yang dalam proses untuk berhijrah ke  Australia. Dia ingin ke Sydney dan akan transit  di Kuala lumpur. Panjang juga kami berbual  tentang banyak perkara . Dari hal bisnes, ekonomi  politik dan bermacam hal lagi.

Penerbangan MAS itu  akan mengambil masa selama 10 jam lebih dan akan transit di Dubai sekejap untuk mengambil penumpang.   Setelah hampir sejam perjalanan dan saya hanya melayan pemandangan di luar tingkap dan sekali sekala membaca buku  yang sentiasa saya bawa bersama.

Ammu  Adnan tadi memanggil peramugari untuk meminta sesuatu.

“Can I get a glass of champagne?”

Ah sudah .. dia minta arak dengan peramugari. Peramugari itu menolak dan menerangkan bahawa Champagne disediakan untuk penumpang kelas pertama dan perniagaan  sahaja. Namun Ammu Adnan mendesak dan peramugari itu terpaksa  mengalah. Dia berlalu pergi dan datang semula  dengan satu gelas plastik berisi separuh  air   jenih keemasan.

Ammu Arab itu minum sedikit demi sedikit. Saya lihat dia  menikmati air tersebut dan sambil tersenyum puas.  Saya mencelah seakan menganggu dia menghayati kelazatan  champage..

“Awak Muslim?”

Memang bangsa Arab ni tidak semua muslim. Ramai juga yang beragama kristian. Pada hemat awal saya, Ammu Arab ni beragama kristian  jadi saya tak kesah dia meminta  Champagne  tu.

“Ya.. saya  Muslim. Nama Saya Adnan..” Jawabnya seakan bangga.

“Muslim tak minum arak. Haram.” Ucap saya tegas dan menunjukkan wajah tak percaya.

Dia bersungguh sungguh mengluarkan kad dari dompetnya dan  menunjukkan kad pengenalan  Lubnannya kepada saya.

“Ni… baca nama saya.. tertulis disitu  saya muslim.”

Saya mengambil kadmya dan membaca namanya . Adnan. Tertera di bawahnya perkataan muslim dan  pegangan  Mazhab Syafie.  Memang betullah muslim. Siap ada maklumat mazhab lagi. Saya menerangkan bahawa arak haram dalam Islam.  Orang islam tidak minum arak.

Ammu itu  tahu arak haram cuma alasannya ialah Champagne ni mahal jika dibeli. Jadi dia ambil kesempatan mahu minum percuma dalam penerbangan. Katanya dia selalu minta Champagne setiap kali naik   Kapal terbang. Katanya Champagne  dalam kapal MAS ini yang paling sedap. Astaghfirullah.. saya membacakan ayat al Quran tentang haramnya Arak. Munum arak adalah amalan syaitan :

﴿ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan undi nasib itu adalah najis daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu berjaya.

Saya  menerangkan bukan isu mahal dan murah.  Ianya tetap haram walaupun diberi percuma sekali pun. Itu ujian untuk orang beriman  di dunia. Di akhirat nanti  Allah akan bagi Champage bukan segelas.  Tapi satu sungai Champagne hingga boleh buat mandi lagi. Panjang juga saya tazkirah dia.  Muka dia  muram tak puas hati.

Tiba-tiba Ammu Adnan minta saya pegang gelas Champagne tadi yang  masih berbaki sedikit. Dia ingin bangun ke tandas. Saya bertegas tidak mahu  pegang gelas tersebut.

“Haram…  saya tak  boleh tolong. Saya tidak mahu terlibat di laknat Allah.”

Ammu Adnan  dengan muka cuak bangun dan membuka meja kecil dari  belakang bangku hadapan dan meletakkan gelas tersebut. Dia berlalu ke tandas.  Bila dia kembali dia menghabiskan Champagne yang berbaki dan  berpaling kepada saya.

“Kenapa awak begitu keras dengan saya.. tidak mesra dengan saya. Saya  saudara kamu seislam.”

Pandai pula dia menyebut saudara seislam. Saya hanya menegaskan bahawa  saya hormati orang Islam yang taat.   Saya bertanggungjawab menegurnya sebagai saudara seislam dan tidak redha  melihat dia membuat dosa  di hadapan saya. Saya membaca hadis nabi:


«لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ، وَشَارِبَهَا، وَسَاقِيَهَا، وَبَائِعَهَا، وَمُبْتَاعَهَا، وَعَاصِرَهَا، وَمُعْتَصِرَهَا، وَحَامِلَهَا، وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ»

Allah melaknat arak, peminumnya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang membelinya, yang memerah (menghasilkannya), yang meminta diperah untuknya, yang membawanya dan yang ia dibawa kepadanya.”

Saya  menerangkan kepadanya  bahawa jika saya memegang gelas tadi saya juga berdosa kerana membantu dia minum arak.  Saya  tidak mahu terlibat. Cukuplah dia saja  membuat dosa dan ingkar pada Allah.

Memang isu arak dalam syarikat penerbangan Malaysia MAS ini hangat diperbincangkan. Sehingg ada yang mengeluarkan hukum melarang orang islam bekerja sebagai peramugara, peramugari dan juga pilot kerana  termasuk dalam hadis tadi . Membawa dan menghidangkan arak. Semuanya di laknat. Saya tidak mahu ulas isu ini. Biarlah orang  pakar tentang usul fiqh dan Maqasid yang membuat pertimbangan  berdasarkan keadaan semasa.

Selepas beberapa ketika, saya minta Ammu Adnan bangun memberi jalan saya untuk ke tandas di bahagian belakang. Keluar tandas saya  saya berbual bual sekejap dengan peramugara dan peramugari di bahagian dapur. Menarik juga cerita mereka.

Saya lihat banyak bangku kosong di belakang.. saya  ambil kesempatan untuk terus duduk dikerusi  kosong bahagian tengah yang terdiri dari 4 kerusi. Saya  angkat tempat letak tangan keaatas dan tidur  mengiring. Perjalan ke Dubai masih jauh berbaki lagi 2 jam.

Ketika  kapal   bersedia untuk mendarat di Dubai saya kembali ketempat duduk asal di sebelah Ammu Adnan.

“Kemana kamu pergi. Kamu tak sudi duduk dengan saya ya.”   Tanya Ammu Adnan  tak puas hati.

“Saya tidur di belakang rehatkan minda saya.. pening tadi bau Champagne.” Jawab saya sambil mengukir senyum sumbing..

Saya harap satu  hari nanti MAS mempunyak kekuatan untuk  menyediakan perkhidmatan terbaik tanpa arak dalam setiap penerbangannya.


Wednesday, October 08, 2025

KEMERIAHAN MASJID TANDA IMAN DAN TAQWA

Saya teringat ketika mendengar peringatan Syeikh Ahmad, Imam Masjid Bilal Bin Rabah  masjid Universiti al Albayt. Usai solat zohor biasanya dia akan memberi sedikit peringatan ringkas tanpa menganggu jemaah solat yang masbuk atau lewat. 


Beliau menguraikan ayat Surah At-Taubah (9:18)

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

 “Sesungguhnya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan tidak takut melainkan kepada Allah semata-mata; maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk.”

“Jika ingin mengenali keadaan iman masyarakat sesuatu tempat kita boleh menjadikan masjid sebagai kayu ukur. Jika masjid di sesuatu kawasan itu meriah, makmur, jemaahnya ramai, itu menggambarkan pendudukan kawasan itu jiwa mereka penuh keimanan dan keyakinan pada Allah.”

“Begitulah sebaliknya. Jika kita melihat sesuatu kawasan itu masjidnya tidak makmur itu menggabarkan bahawa masyarakat di situ ada masalah hubungan dengan Allah. Samaada mereka tidak beriman atau kurang keyakinan pada Allah.”

“Jika mencari tempat tinggal. Carilah kawasan yang mana masjidnya meriah dan makmur. Lebih mudah iman dan ibadah kita terjaga.”

Lihatlah bagaimana dengan masjid di tempat anda. Adakah kita lihat warga sekitar bersemangat hadir ke rumah Allah.

Adakah kita melihat kecintaan mereka kepada masjid Allah?

Marilah kita pastikan diri kita, keluarga kita dan rakan rakan kita sentiasa hadir ke masjid setiap waktu solat. Itulah antara tanda bahawa kita bersyukur pada Allah dan yakin kepada janjiNya.

Semoga Allah memberi hidayah kepada kita.

Friday, October 03, 2025

JANGAN PANDANG LEKEH PADA JANJI ALLAH

 “Kalau manusia ni yakin dengan besarnya pahala yang Allah sediakan untuk sesiapa yang solat berjamaah, pasitnya dia akan usahakan dirinya agar tidak terlepas pahala itu.”

“Kalau manusia merasai betapa ruginya terlepas peluang pahala solat subuh berjemaah, pastinya tidak dapat tidur lena malam itu.”



Siapa yang yakin dengan janji Allah ini akan bersedia awa, bangun awal, bersiap sedia sebelum subuh lagi. Sebelum subuh lagi sudah sampai masjid.”

“Ibarat kita beli tiket kapal terbang MAS atau AirAsia. Waktu terbang jam 6 pagi. Jam 4 kita sudah terpacak di KLIA. Kenapa? Kerana takut terlepas kapal. Risau rugi duit kena beli tiket baru.”

Begitulah antara bayan yang saya ingat ketika di Surau al Sahabah, Kota Damansara. Memang betul apa yang disebut itu. Kita amat memandang lekeh dan kecil pahala solat Subuh berjamaah. Kalau terle[as langsung tidak rasa ianya satu kerugian.

Solat berjamaah  seoalah-olah tidak menjadi agenda dalam aktiviti hidup kita seharian.

Kita lebih rasa kerugian harta dunia  yang sedikit. Kenapa kita tidak rasa pahala yang Allah janji itu besar. Itulah masalah iman kita.

“Kita rasa tak bersalah terlepas solat subuh berjemaah.. hanya solat seorang diri dirumah. Sudah rasa cukup dengan satu pahala. Sudah rasa kita layak masuk syurga.”

“Subuh jam 6, jam 6 lah kita bangun. Nak mandi, gosok gigi, ambil wudhuk sudah tidak sempat ke masjid. Begi saja cara kita pandang janji Allah.”

Terasa menusuk dihati bayan karkun tabligh hari itu. Harapnya ia bukan saja masuk ketelinga ahli jemaah. Mudah mudahan ia mampu diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

Semoga Allah buka pintu hati kita untuk melihat besarnya pahala akhirat berbanding harta dunia.

Semoga Allah beri hidayah dan kekuatan kepada kita untuk patuh kepadaNya.

 

Thursday, October 02, 2025

BANGSA ARAB SUSAH BERKECIL HATI

 “Jangan merokok di sini, ia boleh menganggu orang lain.”

“Awak patut bagi orang perempuan tempat duduk, orang lelaki kuat untuk berdiri.”

“Jangan bercakap kuat-kuat nanti terganggu jiran-jiran sebelah.”

“Awak sembahyang tak betul ni”.

“Awak tak patut cakap begitu dengan saya. Saya tak suka.” 


Itu antara beberapa contoh dialog yang saya perhatikan dituturkan oleh Arab sesama sendiri  sepanjang saya berpengalaman bergaul dengan masyararakat Arab  Jordan. Masyarakat Arab dan juga bangsa lain amat mudah untuk ditegur tentang habit atau perkara yang kita tidak suka.

Budaya menegur ini   sudah menjadi kebiasaan pada mereka. Apa yang paling  menarik ialah mereka tidak berkecil hati atau membantah teguran. Mereka seolah-olah tiada perasaan. Masih boleh senyum dan mampu bercakap dengan baik  dan menerima teguran.

Kedua pihak boleh dilihat berbuat mesra walaupun baru dikenali kerana teguran tadi. Walaupun kadang-kala teguran itu bagi kita orang Malaysia amat sensitif dan mungkin memalukan  pada hemat kita.  Bagi kita orang Malaysia amat susah untuk menerima atau merasa amat tidak selesa jika ada seseroang menegur dan memberi nasihat kepada kepada di hadapan ramai.

Banyak kita lihat bangsa kita mudah melenting bila ditegur bahkan ada yang memberi reaksi negatif  secara lisan dan ada juga secara fizikal.

Saya juga banyak menegur Arab tentang  beberapa perkara. Mereka menerima dengan baik dan hubungan masih baik. Begitu juga dengan bangsa lain selain Arab.  Bagi saya mereka  semua berhati kental dan amat susah berkecil hati  atau  lebih mudah lagi dengan istilah kita sebagai ‘Kecil hati’.

Saya sendiri  pernah menegur sahabat Arab saya

“Badan awak bau busuklah berapa hari sudah tidak mandi.”

“Kalau awak mahu berkawan dengan saya bangun awal solat subuh.”

“Awak jangan sentuh barang-barang peribadi saya dalam bilik ini.”

Walaupun saya cakap begitu dan agak tidak santun dan susah diterima jika diajukan sesama kita. Namun Bagi mereka itu adalah biasa dan langsung tiada istilah kecil hati atau ambil hati. Mereka tidak mudah marah dan mampu mengawal emosi. Persahabatan     berjalan seperti biasa.

Kalaulah itu dituturkan sesama kita. Saya tidak boleh bayangkan apa kesannya.

Mungkin mereka mengamalkan firman Allah ini :

وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: “(Iaitu) orang yang menahan marahnya dan memaafkan orang lain; dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” Surah Āli ‘Imrān (3:134)

Bagaimana dengan pengalaman anda? Mungkin persepsi kita berbeza.


Wednesday, October 01, 2025

SOLAT BERJAMAAH BERSAMBUNG SAMBUNG

 “Hinaak.. Jamaah. Salli hinak” (Di sana ada jamaah. Sembahyang di sana)

Seorang pakcik Arab menunjukkan kepada saya ada ada 3 orang sedang solat berjamaah di bahagian kanan Masjid di Balad Zarqa. Saya sampai di Pekan Zarqa ketika waktu zohor sudah agak lewat. Namun saya dan kawan saya Rafiq tetap ke masjid untuk solat Zohor.


Saya dan Rafiq mengucapkan terima kasih kepada ammu Arab tadi dan solat bersama jemaah tersebut.

Antara perkara baru yang kami rasai ketika berada di Jordan ialah budaya solat berjamaah. Kita dapat melihat budaya ini amat dititik berat dan menjadi amalan kepada masyarakat di sini. JIka kita terlewat ke masjid atau diluar waktu utama solat kita akan dapati akan ada solat berjamaah.

Seingat saya seolah tidak pernah lihat arab solat bersendirian secara terasing jika ia solat fardhu. Jika kita terlihat mereka solat sendirian biasanya kita akan lihat mereka solat 2 rakaat, iaitu solat sunat.

Biasanya di masjid masjid besar yang ramai pengunjung kita akan dapat lihat solat berjamaah akan bersambung-sambung. Selesai saja solat jamaah yang utama, ahli jamaah yang baru sampai akan mencuit makmum masbuk yang sedang selesaikan rakaat solat yang berbaki sebagai tanda dia akan menjadi makmumnya. Jika datang makmum yang lain mereka terus solat bersama dengan imam baru tadi.

Hal ini sudah menjadi budaya dan persahaman yang kemas dalam masyarakat. Sehinggakan  solat tadi akan bersambung sambung sehingga pernah saya terlihat ianya sampai kebahagian belakang dan sampai ke pintu masuk masjid!

Sesiapa yang terlewat hadir kemasjid akan melilau matanya mencari jemaah solat yang ada. JIka tiada mereka akan menunggu jika ada sesiapa yang baru sampai untuk solat bersama. Sudah menjadi kebiasaan pun jika kita masuk ke masjid dan solat jamaah utama sudah selesai akan ada beberapa orang yang menunjukkan kepada kita kepada jemaah baru bersambung agar solat bersama mereka.

Budaya ini amat bagus dan amat berbeza dengan budaya kita di Malaysia. Di Malaysia kita lebih suka untuk solat sendirian dengan alasan lebih khusyuk dan cepat. Amat mengecewakan jika solat di surau awam atau RnR ramai masuk terus solat sendirian walaupun sudah ada solat jemaah sedang berlangsung.

Jom jadikan budaya solat jemaah dalam masyarakat kita. Kita sendiri jadilah pencetus solat jemaah dimana saja kita berada. Ingatlah solat berjamaah pahalanya berganda. Asas pahala solat berjamaah ialah 27. Ianya boleh bertambah mengikut keadaan situasi dan usaha masing-masing.

Amatlah rugi jika kita solat sendirian. Boleh dikatakan tidak cerdik sesiapa yang solat sendirian sedangkan peluang solat berjamaah di depan mata.