Thursday, February 05, 2026

“ALHAMDULILLAH WA SYUKRU LILLAH”

Itulah ungkapan yang dituturkan oleh salah seorang kawan sekelas saya  di  pusat bahasa Arab Universiti al Bayt bila saya bertanya tengan khabar.  Dia beragama Kristian Orthodoks. Seingat saya dia berasal dari negara Romania. Dulu sebelum kami semua dibenarkan mendaftar mata pelajaran kuliah setiap pelajar diwajibkan untuk mengambil ujian tahap bahasa Arab. 


Entah bagaimana, saya tidak melepasi ujian itu dengan baik dan terpaksa belajar dulu di  pusat bahasa Arab bersama pelajar pelajar bangsa asing yang lain. Kami mempelajari semula bahasa Arab dari awal. Dari sebutan bunyi, huruf, perkataan dan semua asas perbualan asas bahasa Arab.

Antara yang menjadi kejutan kepada saya ialah semua pelajar tidak kira muslim atau bukan diajar tentang frasa-frasa utama harian. Antaranya ialah tentang sapaan ‘Assalamualaikum’. Ucapan ‘Alhamdulullillah’ ketika kita berada dalam sihat dan situasi yang baik. ‘Masya Allah’ atau ‘Subhanallah’ jika kita kagum atau teruja kepada sesuatu. “Insya Allah’ Jika kita berjanji atau ingin buat sesuatu pada masa hadapan.

Apa yang saya faham ketika belajar di Malaysia, ucapan salam dan juga ungkapan ungkapan lain itu hanya untuk orang Islam, Bahkan ucapan salam tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Jika merka menyapa dengan salam pun kita tidak dibenarkan membalas balik. Apatah lagi ungkapan ungkapan lain yang mengandungi nama Allah.

Sesiapa yang belajar bahasa Arab akan diajar ungkapan ini sebagai asas bahasa Arab dan juga sebagai elemen budaya. Guru kami menerangkan dengan jelas fungsi fungsi ungkapan tersebut berdasarkan kefahaman Islam. Secara tidak langsung guru kami menerangkan tentang tuhan dan tanggungjawab manusia sebagai hambanya. Manusia perlu ingat dan syukur pada Allah dan sentiasa memujinya. Kemudian ianya diguna dan menjadi amalan  dalam perbualan harian rakan-rakan kami yang bukan Islam. 

Ketika saya menyewa rumah di Hayyu Dhubat, Jiran hadapan rumah kami amat baik . Kami diminta memanggil namanya sebagai Abu Yusuf dan Isterinya Ummu Yusuf.  Dia sentiasa memakai jubah putih dan   tangannya tidak lekang dengan tasbih. Setiap petang ketika kami  bermain sepak takraw di hadapan rumah Ummu Yusuf akan sediakan Syai untuk kami. 

Setiap  kali kami bersua akan dimulakan dengan salam seperti biasa. Tengok lah siapa yang mulakan dahulu. Jika ditanya khabar ia akan jawab ‘Alhamdulillah’.. ungkapan insya Allah itu adalah biasa. Tasbih ditangannya pun sentiasa begerak gerak menunjukkan dia  sedang berzikir.

Cuma  sedikit pelik dengan Ummu Yusuf yang tidak bertudung dan setiap hari memakai skirt  dan memakai baju lengan pendek. Ia  adalah  satu kejanggalan dan saya tidak pernah lihat wanita Islam berpakaian sebegitu. 

Sehinggalah pada satu hari, saya bertanya kepada Abu Yusuf  di mana dia biasa solat jumaat kerana saya tidak pernah terserempak dengan dia di masjid. Jawapannya  amat mengejutkan saya..

“Saya Kristian, saya hanya ke gereja setiap Ahad.”

Rupanya dia beragama Kristian  sedangkan penampilan hariannya adalah sebagai Muslim. Setelah lama kami di Jordan barulah kami memahami bahawa ungkapan-ungkapan harian itu adalah rupanya sebagai budaya  masyarakat Arab tanpa mengira agama. Begitu juga dengan pakaian. 

Bila saya bertanya kepada guru saya Dr Qahtan tentang ini.  Jawapannya ialah  tidak haram penggunaan ungkapan tersebut bagi bukan Islam dan tidak timbul pun isu penghinaan kepada Agama Islam. Masyarakat Arab Jahiliyyah penentang Islam pada zaman nabi pun menggunakan ungkapan ini setiap  hari walaupun mereka kafir.   Dr  Qahtan juga menyebut bahawa dengan cara itu boleh mendekatkan mereka dengan Islam. Mudah mudahan satu hari nanti  Allah buka hati mereka untuk menerima  hidayah petunjuk dari Allah.

Mungkin dengan Ucapan salam kita itu sebagai  doa kesejahteraan untuk mereka  memjadi asbab hidayah  untuk mereka memeluk Islam. Kita tidak perlu menghukum. Islam adalah agama  damai dan sejahtera.