Petang Jumaat saya memaklumkan kepada ‘Usaid’ adik lelaki Dana bahawa saya ingin berjumpa dengan Abu Raghib selepasAasar hari Sabtu untuk melunaskan sewa rumah. Saya sudah mengambil keputusan untuk m9emberi kata putus tentang tawaran Abu Raghib itu.
Petang itu hanya saya dan Abu Raghib di ruang tamu tingkat atas rumahnya. Abu Raghib mempersilakan saya duduk di ‘kanabah arabiyyah’ (Sofa Arab). Atas meja kecil sudah terdapat secerek teh dan beberapa cawan teh. Terdapat juga juga beberapa piring ‘fata’ir dan sambosak. Nampaknya ada menu istimewa sikit hari ini.
“Tafadhhal ibni…” (Silakan anak aku)
Selepas bertukar ucapan selamat dan bertanya khabar. Dia menuangkan teh ke dalam cawan dan diletakkan sedikit beberapa helai daun Na'na’ (pudina) . Na'na ini menjadikan teh lebih segar dan wangi.
Kami berbual pelbagai topik sambil mengirup teh segar. Selepas menghirup teh, saya rasa lebih tenang dan selesa.
“Jarrib fata’ir wa sambosak.. Dana sawaaitha” (Cubalah rasa pastri dan sambosak. Dana yang buat) Abu Raghib mempelawa saya.
Selepas merasai sepotong sambosak dan sekeping fatirah, saya memulakan perbualan. Sambil menghirup syai bi al na'na, saya memandang wajah Abu Raghib.
“An Iznik.. baddi ahki misyan Dana..” (Mohon izin. Saya mahu cakap tentan Dana). Saya memulakan perbualan.
“Eih na’aam. Tafadhhal.” (Ya. Silakan). Abu Raghib membetulkan duduknya sambil meletakkan cawan syai. Matanya tepat merenung wajah saya. Tenungannya menjadikan saya sedikit gugup. Saya kuatkan diri.
“Wallahi.. ana aasif.. ana mu mustaed.” (Demi Allah. Saya minta maaf. Saya tidak bersedia). Saya bersuara perlahan. Saya lihat renungan Abu Raghib semakin tajam.
“Bass Bakhaaf ma baqdar bas’ad Dana..” (Saya bimbang tidak mampu bahagiakan Dana) Sambung saya sambil tunduk mengelakkan bertentang mata dengan Abu Gharib.
‘Tommin qalbak. Khuz waktak…la tasta’jil ” (tenangkan hati, ambil masa, tak perlu segera).
Saya hanya diam tekun mendengar tutur Abu Raghib.
“Kalau kamu rasa berat pasal mahar.. tak payah fikir sangat.. tak perlu segera. Boleh tangguh.”
“Mungkin kamu boleh sediakan tiga ribu dinar dulu. Dua ribu tu kemudian tak apa.. Pasal rumah. Boleh tinggal dengan saya dulu.”
“Kamu ibarat anak kami. Kami sekeluarga sangat berjarap kamu jadi sebahagian keluarga kami.”
Allah.. sebak saya mendengar tutur kata pujukan Abu Raghib. Besarnya harapan mereka. Tidak sampai hati saya hendak kecewakan mereka. Saya hilang kata-kata.
Tapi, cetusan hati saya selepas beberapa hari beristikharah amat kuat mengatakan bahawa saya perlu buat keputusan segera. Saya masih muda dan perlu selesaikan pengajian. Taraf keluarga saya juga tidak setanding keluarga Abu Raghib.
“Saya suka pada Dana. Dia gadis yang cantik, lembut dan beradab. Itu hasil didikan ayah dan ibu yang hebat. Cuma saya ada halangan buat masa ini.”
“Saya amat gembira tinggal di rumah ini. Saya rasa selamat dan amat tenang dengan keluarga ini. Terasa seperti berada dirumah sendiri. Layanan dan kebaikan keluarga tuan adalah yang paling terbaik saya dapati sehingga hari ini.”
“Tuan ibarat ayah bagi saya di sini.”
Saya menyusun kata dengan hati hati agar tidak mengguris hati Abu Raghib. Suasana hening seketika. Kami berdua diam tanpa kata. Saya tercari-cari alasan yang sesuai.
“Ibu saya nasihatkan agar fokus kepada pengajian dulu.”
“Ayah saya amat hargai tawaran tuan. Cuma dia minta saya fikir banyak perkara demi kemaslahatan bersama.”
Saya terpaksa menggunakan helah keluarga walaupun sebenarnya mereka tidak diberitahu tentang hal ini. Banyak perkara yang saya perlu buat pertimbangan. Saya bukan dari keluarga senang. Kalau saya terima tawaran ini saya perlu mengikat perut membuat simpanan. Saya tidak dapat lagi menghantar duit ke kampung membantu keluarga.
Isu kufu menjadi asas pertimbangan saya. Perbezaan budaya juga menjadi pertimbangan penting. Saya rasa masih belum matang untuk menghadapi isu rumahtangga seawal usia ini.
Hati saya sudah cenderung untuk membuat keputusan ini. Itulah petunjuk istikharah saya selama ini. Saya yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk masa depan saya.
“La alaik.. anta hurr” (Tak mengapa. Kamu bebas buat keputusan). Suara Abu Gharib mengejutkan lamunan saya. Lega hati saya mendengar kata kata ini. Semoga Allah mengatur jodoh yang terbaik untuk saya.
No comments:
Post a Comment