Monday, July 28, 2025

HENING PETANG BAWAH RIMBUNAN ANGGUR

Petang sabtu saya berseorangan di rumah. Kawan serumah belum pulang  selepas dia keluar dari pagi. Saya keluar sekejap ke ‘baqalah’ Abu Mazin (kedai runcit)  berdekat dengan rumah saya untuk mencari makanan ringan sebagai jajan ketika membuat tugasan, malam nanti.

Ketika saya sedang  berjalan ingin keluar dari pagar rumah, saya terdengar gelak ketawa lembut  perempuan. Pagar rumah di Jordan ini dibina dari tembok konkrit melepasi paras kepala. Ia dibina begini memberi ruang privasi kepada ahli keluarga perempuan untuk bergerak bebas dalam halaman rumah tanpa dengan batas aurat yang ringan. 


Rumah ini mempunya dua pintu pagar. Pagar utama biasanya untuk keluarga tuan rumah. Kami menggunakan pintu pagar sisi yang lebih kecil. Ketika saya sedang menuju ke pagar saya terpandang kelibat tiga orang gadis sedang berbual dibawah pepohon anggur. Dibawahnya ada beberapa bangku untuk berehat.

Laman laman rumah di Jordan biasanya akan ditanam dengan pokok pokok anggur yang akan menjalar di atas para  besi melepasi kepala. Para besi ini yang dijalari oleh dahan-dahan anggur menjadikan ia seperti bumbung yang menghiasi laluan masuk ke rumah. Kali ini buah agak berbuah lebat tapi belum matang. Jika ia sudah masak,  buah anggur berjuntaian di atas kepala. Alangkah indahnya pemandangan itu.

Ya.. Dana ada disitu mungkin dengan sepupu atau kawannya kerana setahu saya dia hanya ada kakaknya yang sudah berkahwin. Tiba-tiba gelak ketawa dan hilaian terhenti dan mata mereka semua memandang  saya yang sedang berjalan keluar.

“Assalamualaikum.. Masaal khair..!” Saya menyapa mereka sambil tersenyum.

Tiba-tiba dua daripada gadis tadi bangun dan pergi meninggalkan Dana keseorang di situ. Saya sedikit kaget. Dana berdiri mengadap saya. Wajahnya tunduk kebawah. Saya terpaksa berhenti kerana kedudukannya menghalang laluan saya untuk keluar.

“Keifiiik?”  (Apa habar) saya menyapanya.

“Kheirr..” (baik) Jawab sambil mengangkat wajahnya dan mengukir senyum.

“Baba maujud bil beit..?”  (Ayah ada di rumah?) Hanya itu soalan spontan keluar dari mulut saya..

Ei.. naam” (ya) Sepatah saja dia menjawab

Saya tak ada kata yang mahu dituturkan. Bungkam. Hanya mampu berdiri.

“Wein rayihh” ( Nak kemana?) Terdengar suaranya bertanya perlahan.

Biqalah Abu Mazin…. An iznik”. (Kedai Abu Mazin.. Mohon Izin) Saya menjawab sambil mengulurkan tangan minta laluan.

Dana mengelak ke tepi memberi ruang saya keluar.. Ketika mahu keluar dari pagar mata saya melirik kebelakang. Dana masih di situ melihat saya keluar.

Hati saya berkecamuk. Saya masih belum pasti apa yang berlaku sebenarnya. Adakah tawaran Abu Raghib tu hanya cetusan ayahnya atau permintaan Dana sendiri. Saya sendiri semenjak tinggal di rumah ini tidak ambil kisah sangat tentang keluarga Abu Raghib. Bertanyakan tentang hal keluarga adalah satu keaiban bagi masyarakat di sini. Cukup sekadar bertanya khabar saja.

Ah.. Dana masih muda. Umurnya baru 16 tahun. Saya pun baru mencecah 22 tahun bulan ini. Kalau di Malaysia gadis baya ini masih mentah. Masih bersekolah di tingkatan 4. Tapi dalam masyarakat Arab kematangan  fizikal perempuan lebih awal. Pelajar sekolah sekolah rendah pun ramainya sudah kelihatan matang layak memikul tugas isteri dan ibu. Namun rasanya tidak mungkin ini adalah keinginan Dana sendiri.

Hampir telepas ‘Biqalah Abu Mazin’ lantaran berjalan dengan fikrian yang melayang. Nasib masih saya masih ingat lagi barangan yang ingin dibeli. Selepas memasukkan sepaket chip kentang, dua paket biskut Turkey dan dua kotak air ‘Zakiy’ saya menapak kembali kerumah.

Saya mesti membuat keputusan segera. Saya mesti serius dan tegas dalam membuat keputusan. Teringat pesan Dr Qahtan tempoh hari. Ya.. saya mesti serius istikharah mohon petunjuk dari Allah. Hanya Allah yang maha tahu. Allah maha bijaksanana. Hanya dia yang tahu untung rugi nasib hambanya.

Bermula hari itu setiap malam sebelum subuh saya bangun lebih awal untuk solat tahajjud dan ditambah pula dengan solat istakharah khas. Ditutup dengan munajat, witir dan doa agar diberi petunjuk dan jalan keluar yang terbaik tentang Dana.

Satu kebetulan pula beberapa hari lepas, Imam Masjid Bilal bin Rabah, Masjid Universiti Al Bayt telah membuat kuliah ringkas selepas zohor berkisar adab beristikharah. Masih terngiang-ngiang lagi kata-katanya.

“istikharah amat perlu dalam membuat keputusan besar, terutama pemilihan pasangan hidup.”

“Keputusan istikharah bukan bermaksud menunggu mimpi, tetapi menyerahkan urusan kepada Allah dan melihat di mana hati menjadi lebih tenang selepas itu.”

Selepas solat sunat dua rakaat saya membaca doa ini dengan penuh penghayatan dan harapan:

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ. اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ (sebutkan perkara tersebut) خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ: فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ. وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي أَوْ قَالَ: فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِيَ الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ، ثُمَّ أَرْضِنِي.

“Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu, dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kepada-Mu daripada limpahan kurnia-Mu yang agung. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa, sedang aku tidak berkuasa. Engkau Maha Mengetahui, sedang aku tidak mengetahui. Engkaulah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib.

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini (sebutkan hajat atau perkara yang ingin dipilih) adalah baik untukku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku – atau sabdanya: dalam perkara dunia dan akhiratku – maka takdirkanlah ia untukku, mudahkanlah ia bagiku dan berkatilah aku padanya.

Dan jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini buruk untukku dalam agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku – atau sabdanya: dalam perkara dunia dan akhiratku – maka jauhkanlah ia daripadaku dan jauhkanlah aku daripadanya. Dan takdirkanlah untukku kebaikan di mana sahaja ia berada, kemudian redhakanlah aku dengannya.”

Semoga Allah memberi petunjuk kepada saya. Sebelum subuh saya tidur sekejap dengan harapan mendapat jawapan dalam mimpi. Walaupun saya tahu jawapan istikharah tidak semestinya melalui mimpi, tetapi boleh hadir dalam bentuk ketenangan atau kecenderungan hati. Allah juga memberi petunjuk dengan menjadikan sesuatu urusan itu menjadi mudah atau sukar.

Saya berserah kepada Allah. Saya redha dengan ketentuan apa saja keputusanNya.

No comments:

Post a Comment