Wednesday, June 04, 2025

BUKAN BLAZER DAN TALI LEHER YANG AKAN DITEMUDUGA

 Sampai di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid, Ustaz Norbakti tiada di sana. Dia sedang berehat di masid usai solat Zohor di Masjid Dr Yusof al Qardawi masjid Telupid yang baru. Seingat saya sebelum tak adamasjid sekemas ini di Telupid. Sekarang ini Masjid ini menjadi tempat singgah para musafir dan juga sebagai tempat aktiviti masyarakat setempat. Namanya pun hebat. 


Di masjid saya bertemu Ustaz Norbakti dan Ustaz Awangku Sazali sedang berehat sebelum masuk semula ke pejabat jam 2 petang. Kami berbual panjang bercerita tentang pengalaman lama dan kisah kisah nostalgia sepanjang perkhidmatan. Ustaz Norbakti ni orang lama di Telupid. Pernah bertugas di SMK Telupid bersama sahabat lama saya Allahyarham Ustaz Zairi Hassim.

“Saya ada satu pengalaman menarik semasa hadir temuduga SPP untuk pengesahan pelantikan DG41”  Ustaz Norbakti berkongsi pengalamannya yang menarik.

“Ketika kami sama sama tunggu giliran untuk ditemuduga saya lihat ada seorang guru. Dia hanya berkameja tanpa tali leher dan juga blazer macam calon calon lain.”

“Timbul rasa nak menolong. Jadi saya sembang dengan dia. Saya bilang nanti lepas saya masuk saya akan bagi pinjam tali leher dan juga blazer saya. Mudah sikit urusan temuduga dan boleh lulus dengan mudah.”

“ Ustaz tahu apa jawapan dia.. dia bilang panel temuduga tu nak temuduga saya, bukannya nak temuduga tali leher dan juga blazer. Tak perlu pakai itu semua.”

Saya dan Rumaizi tergelak mendengar cerita pengalaman Ustaz Norbakti.

“Memang ada manusia yang jenis begitu. Jenis belajar ilmu hakikat. Saya pun ada pengalaman juga.” Wan Rumaizi mencelah.

“Lulus juga cikgu itu. Kita mahu tolong dia agar penampilan dia sesuai dengan guru. Risau juga jika panel tu lihat penampilan boleh gagal temuduga tu.”

“Saya ada dengar juga cerita dia pernah berkhutbah hanya pakai singlet. Mungkin betul atau tidak. Tapi macam tak mustahil kalau ingat kisah dia masa temuduga tu.”

Macam-macam kami bertukar cerita dalam tempoh hampir sejam. Hampir semuanya berkisar tentang kerjaya guru terutama sebagai guru agama dalam konteks di Sabah dan secara khususnya di Daerah Telupid. Masyarakat tempatan amat memerlukan guru agama yang betul betul komited yang bukan saja mengajar berdasarkan sukatan pelajaran malah juga berdakwah mengubah sikap dan nilai agama dalam diri pelajar.

Cabaran di Telupid ialah penganut agama kristian agak ramai dan hidup bersama masyarakat Islam. Guru agama perlu memainkan peranan penting memperkukukan aqidah murid disamping menyerlahkan kemurnian agama Islam. Peluang terbuka luas kepada guru agama untuk melebarkan dakwah dalam masyarakat.

Setelah jam 2 petang Ustaz Norbakti meminta izin untuk balik ke pejabat kerana perlu hadir mesyuarat jabatan. Kami juga ingin meneruskan perjalanan mencari dan menziarahi sahabat lama kami di Kampung Singgah Mata.

No comments:

Post a Comment