Thursday, September 11, 2025

NON MUSLIM BANTU KEJUT SOLAT SUBUH!

Banyak kali juga saya terdengar suara-suara yang mengatakan bahawa jangan libatkan non muslim dalam buat kerja baik.   Orang Islam mesti bersatu dan bekerjasama sesama muslim dalam semua bidang. Tidak kiralah ekonomi,  pendidikan,  kemasyarakatan, poltik dan sebagainya. Non Muslim perlu dihindari dan dianggap sebagai musuh  bagi orang  Islam. 


Saya teringat pengalaman saya  di Sabah ketika bertugas di  SMK Elpora , Sandakan. Pada awalnya  hanya tidak sampai 10 orang pelajar yang solat maghrib dan isyak di surau.   Pelajar hanya solat atas kesedaran sendiri.   Saya berpakat dengan beberapa orang pelajar untuk kempen solat berjamaah di surau sekolah dan saya akan  memberi kuliah maghrib  setiap malam.

Hampir setiap hari saya datang awal untuk ke asrama dahulu menjemput  pelajar ke surau. Setelah beberapa   minggu    ketika di bilik guru,   Cikgu Oswald, warden asrama bertemu dengan saya. 

“Ustaz tak perlu datang cari pelajar di asrama.”

“Kami akan bantu ustaz kerah pelajar asrama ke masjid waktu magrib, dan subuh.”

“Saya dan Leony dah berpakat  akan memastikan asrama kosong dari pelajar muslim antara waktu maghrib isyak dan subuh.”

“Yang ada di asrama  tu  bukan muslim lah.” 

Memang selepas itu mereka betul-betul membantu.  Surau sekolah yang kami namakan ‘Masjidil Aqsa’ penuh dengan pelajar.   Pelajar juga diwajibkan solat subuh di  Masjid al  Aqsa. Walaupun saya tidak hadir waktu subuh.  Pelajar memberitahu saya  bawa warden akan kejutkan awal dan pelajar perlu ada di masjid sebelum azan berkumandang.

Satu ketika, bilangan pelajar hadir masjid tidak mencukupi jumlah pelajar muslim di asrama. Sedangkan kedua warden itu sudah mencari di setiap ceruk asrama namun tidak dijumpai. Sehinggalah  mereka dapat mengesan nama pelajar yang tidak hadir solat  dan disoal siasat. 

Pelajar tersebut telah membuka cermin tingkap  keluar ke beranda belakang untuk tidur berlapikkan kain . Dia memasangkan semula kepingan cermin tingkap agar dapat mengaburi  mata  warden ketika mencari dia di dorm  asrama.  Itu dilakukan semata-mata tidak mahu hadir solat dimasjid. Dia sanggup menggadai nyawa dengan  tidur diberanda belakang di tingkat tiga yang tiada penghadang .

Bayangkan kalau dia bergolek ketika tidur boleh terus jatuh kebawah. Pelajar  itu telah dikeluarkan dari asrama setelah berdegil dan berkeras dengan sikapnya. 

Begitu juga ketika waktu solat jumaat.   Guru-guru yang membantu saya  mencari pelajar yang ponteng solat   jumaat adalah guru-guru Cina. Mereka akan   berjalan  sekitar sekolah menyemak tandas,  bilik-bilik kelas untuk memastikan pelajar muslim   tidak ponteng solat jumaat. Bila saya masuk ke bilik guru usai solat jumaat, pelajar muslim yang telah ditangkap tadi sudah sedia dikumpulan untuk menerima hukuman.  

Apa yang saya ingat ialah guru-guru non muslim amat tegas dan setiap minggu membantu saya mendisiplinkan  pelajar muslim agar patuh kepada agama.

Begitu juga ketika bertugas di IPG Tawau.  Walaupun pelajar lelaki muslim tidak ramai tapi jika  semua pelajar hadir ke surau akan memenuhi dua saf juga. Tapi biasanya bilangan yang hadir tidak melebih 10 orang pun. Jadi setiap pagi saya ke asrama untuk mengetuk setiap bilik yang tertera nama muslim untuk mengejut mereka solat subuh.  Mendengar ketukan bilik yang keluar ialah pelajar non muslim dari bilik lain.

“Ustaz. Boleh saya bantu kejutkan kawan-kawan muslim ?” Tanya salah seorang dari mereka.

“Kami sudah kenal mana satu bilik pelajar muslim.”

“Boleh. Alhamdulillah.”

Dua pelajar non muslim yang selalu bantu saya untuk kejutkan pelajar. Edward dan Petrus (bukan nama sebenar) setiap hari    bersama saya kejutkan pelajar asrama.   Walaupun  solat subuh   sudah dimulakan pun mereka masih  mengejutkan rakan mereka untuk solat. Semoga Allah merahmati mereka berdua . Saya mendapat khabar salah seorang dari mereka sudah mendapat hidayah dan telah kembali kepada fitrah.

Peranan non muslim dalam dakwah ini  telah ditunjukkan oleh Rasulullah . Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah , Rasulullah telah menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqat sebagai penunjuk jalan ke Madinah. Walaupun hijrah itu kerja besar dan perlu kerahsiaan tertinggi demi keselamatan, tatapi rasulullah masih mengambil khidmat non muslim atas dasar kepakaran dan pengalaman.

Ini adalah satu isyarat yang  penting bagi kita dalam menjalankan kehidupan seharian. Kita  boleh hidup bersama dengan non Muslim dan saling bantu membantu memenuhi keperluan. Pada masa yang sama kita boleh sampaikan dakwah dan kesedaran kepada mereka. 

Kita perlu melihat  Non muslim adalah pelanggan kita dalam dakwah.   Jangan sisih mereka. Jangan musuhi mereka.  Bergaullah dengan mereka setiap ketika. Sampai fahaman Islam kepada mereka. Itu tugas setiap orang  Muslim.


No comments:

Post a Comment