Wednesday, June 11, 2025

NANTI AMBIL GAMBAR YA!

HHanya itu suara yang saya dengar keluar dari mulut Allahyarham sahabat saya Ustaz Khairul Anuar bin Yazid ketika saya melawatnya pada 24 Mei lepas. Semalam 10 Jun 2025 Sahabat saya telah dipanggil mengadap penciptanya selepas beberapa bulan bertarung dengan ujian sakit kanser hati. 


Saya mengenalinya ketika di sekolah Maahad Muhammadi lagi. Beliau adalah junior bawah setahun. Hubungan lebih erat apabila dia berkelana bersama kami di Universiti al Albayt Jordan. Beliau terkenal seorang yang lembut tutur kata halus budi bahasa. Tak pernah terdengar perkataan keluar dari mulutnya cacian dan makian  atau tidak puas hati tentang sesuatu. Semuanya adalah positif yang menyejukkan hati.

Badannya amat lemah dan di selemuti oleh selimut angin bertujuan untuk memanaskan badannya dalam kedinginan penghawa dingin.  Dia hanya mampu tersenyem kelat memandang kami. Kami hanya berdiam diri dengan hanya mampu berdoa untuk kesejateraannya.

Isterinya ketika itu sedang memotong kuku kaki Ustaz Khairul dan menggosokkan kakinya dan memakainya stokin agar lebih hangat untuk keselesaan. Ketika kami meminta izin untuk beredar terdengar suara halus dari mulut Ustaz Khairul minta ambil gambar.

Oh.. Ustaz Khairul memang pesan ambil gambar dia dengan semua tetamu yang datang melawat”.

Isteri Ustaz Khairul memaklumkan kepada kami. Kami cuak juga sebenarnya kerana terlihat ada papan tanda kecil melarang mengambil gambar. Kami pun tidak mengambil gambar bimbang timbul ketidak selesaan pesakit dan keluarganya.

Isterinya mengeluarkan hensetnya untuk mengambil gambar kami. Saya juga memberi henset saya untuk ambil gambar. Kami hanya melambaikan tanya memberi isyarat memohon izin untuk beredar.

Sayu hati kami melihat keadaan Ustaz Khairul yang diuji dengan ujian yang berat ini.

Sebenarnya ini adalah kali kedua saya melawat Ustaz Khairul Anuar. Kali pertama saya melawatnya ketika dia berada di Hospital Selayang pada 11 Mei 2025. Ketika itu dia masih boleh bercakap dan bercerita tentang keadaan sakitnya.

“Dr Lah..Terima kasih datang ziarah ana.”

Tak berhenti dia bercerita sehingga tak sempat saya nak bertanya hal lain. Oleh kerana ramai yang menunggu giliran untuk menziarah saya hanya bersamanya 5 minit sahaja. Saya hanya mampu berdoa dan menyebut bahawa Allah sayanya kepadanya dengan ujian sakit ini. Pastinya Allah ingin mengangkat darjatnya ke tahap yang lebih tinggi. Allah telah menganugerahkan kepadanya husnul khatimah.

Kami kehilangan sahabat yang amat baik dan pastiknya kami akan merindui tutur katanya yang lembut. Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan rohnya ditempatkan bersama orang soleh seterusnya dimasukkan ke syurganya yang luas terbentang.

Sahabat kami telah dipanggil mendapat penciptanya. Tinggallah kami semua yang masih menunggu giliran entah bila akan menyusul. Semoga kami mampu memanfaatkan sisa baki hidup ini  untuk mengumpul bekal taqwa untuk kehidupan akhirat nanti. 

No comments:

Post a Comment