Thursday, August 14, 2025

MENGIKIS NOSTALGIA

 Selepas menerima warkah titipan Dana  emosi saya sedikit terganggu walaupun saya telah membuat keputusan tuntas. Bait-bait kata lirik lagu   kadang-kadang masih menghantui benak  saya.   Ia semakin kuat apabila setiap hari   saya terpaka  melintas  bangku bawah pokok anggur sebelum keluar rumah.


Saya berbincang dengan rakan serumah  untuk mencari rumah sewa lain agar  dapat membantu saya menghilangkan gangguan memori ini.  Kebetulan pula satu hari saya bertemu dengan  rakan saya Asim dari Albania juga sedang mencari rumah sewa.  Beliau ingin tinggal berasama rakannya Alvin atau  panggilannya Abu Ammar.

“Kamu nak tinggal berduakah?”

“Mungkin kalau ada rumah yang sesuai. Rumah saya sekarang amat padat . Sudah ada 8 orang rakan serumah. Kami hanya tidur diruang tamu.”

“Saya  nak cari rumah yang  sewanya bawa JD50.  Lebih dari  itu kami tak mampu.”

“Wei.. mana ada rumah  sewa harga sebegitu melaikan rumah yang amat teruk..  nanti saya cuba risik.. mungkin ada rezeki kamu  dan  Alvin.”

Saya berbincang dengan Rafiq kemungkinan Asim dan Alvin boleh  tinggal bersama kami. Saya  dan Rafiq  mula berusaha mencari rumah sewa baru dengan bertanya khabar beberapa orang  Arab sekitar  Dhubbat dan Hayyu Sikkah.

Rafiq berjaya mendapat satu nombor telefon Abu Mahmoud yang mempunyai rumah untuk disewa dan kami membuat temujanji. Rupanya rumah sewa tersebut hanya berbeza satu   imarah (bangunan) sahaja dari   Imarah  Abu Raghib. Tapi untuk ke universiti    kami akan mengambil jalan lain tidak  lagi  melaui jalan rumah Abu Raghib. 

Apa yang penting saya tidak lagi melihat bangku dan pokok anggur itu kerana ia berada dalam pagar tembok yang tinggi. Kami memberi notis  sebulan kepada Abu Raghib  dan Abu Mahmoud juga memberi peluang kami memindahkan barang tanpa bayaran sewa awal.

Abu Raghib pada awalnya agak keberatan ingin melepaskan kami dan menawarkan untuk  menurunkan  kadar sewa kepada kami berdua. Namun alasan saya ingin mencari suasana baru  amat difahami. Dana   lebih jauh membawa diri hingga ke Yanbu di Arab Saudi.Saya hanya membawa diri ke belakang bangunan sahaja.

Saya dan  Rafiq bersepakat untuk membantu mengurangkan beban Asim dan Alvin  yang hanya hidup dengan bantuan kementerin  waqaf Jordan sahaja.    Rumah Abu Mahmoud    hampir tiga kali ganda besar dengan tiga bilik yang luas dan ruang tamu dan dapur yang selesa. Sewa rumah JD100  dibayar oleh saya dan Rafiq dengan JD40 seorang.Manakala bakinya dibayar oleh Asim dan Alvin.

Kami  berharap  bantuan ini dikira sebagai infaq kami kepada   ibnu sabil yang sedang musafir menuntut ilmu di bumi Kinanah ini. Semoga kamu mendapat saham berterusan jika ilmu mereka dimanfaatkan  kemudian hari.

Apa yang penting saya dapat mengelakkan gangguan  dari kenangan bangku dan pokok anggur di rumah Abu Raghib.  Kad bunga Ros dan surat titipan  Dana, saya  selitkan dalam celahan kitab  masadir yang amat kurang untuk dirujuk.  

Saya teringat bebapa bait bait syair klasik yang dipelajari dihafal rupanya ia dekat dengan fitrah kehidupan manusiawi termasuk saya send

Jamil Buthayna menyusun bait tentang perpisahan cinta

وَلَوْ أَنَّنَا إِذْ نَبْتَدِلْتُ فُؤَادَهَا        وَفُؤَادِي بِفُؤَادِهَا لَتَحَوَّلَا
وَلَكِنَّ قَدْرًا لَا يُرَدُّ قَضَاءُهُ       حَكَمَ فَمَا لِلْمَرْءِ فِيهِ تَحَيُّلَا


Andai hatiku dan hatinya dapat bertukar tempat,
Nescaya rindu itu akan saling terubat.
Namun takdir yang tak dapat ditolak telah memutuskan,
Tiada daya manusia untuk mencari helah.

 Imruʾ al-Qays dalam Muʿallaqa yang masyhur dalam siri puisi pra-Islam

قِفا نبكِ من ذِكرى حبيبٍ ومَنزلِ … بسَقطِ اللوى بينَ الدخول فَحُوملِ.
“Berhentilah, sahabatku, mari kita menangis mengingat sang kekasih dan tempatnya … di lembah Luwā, antara al-Dukhūl dan Ḥūmal.”

.     فَتُوضِحَ فَالْمِقْرَاةِ لَم يَعْفُ رَسْمُها     لِمَا نَسَجَتْها مِن جَنُوبٍ وَشَمَالِ

Di Tawdih dan al-Miqrāh, masih jelas bekas tapaknya, meski diliputi tenunan angin selatan dan utara.

Bait bait ini menyentuh nuansa nostalgia dan kesedihan atas memori yang telah hilang, simbolis bagi perpisahan dan cinta yang tak tercapai.

Semoga Allah  bagi ketenangan kepada saya  untuk menuntut ilmu dibumi barakah ini tanpa gangguan. Persoalan jodoh, cinta dan kasih saya serahkan pada Allah. Biar Allah yang tentukan . Sudah tentu ia akan bagi yang terbaik untuk hambanya.


Wednesday, August 13, 2025

SELAMAT TINGGAL, SEMOGA KAMU BAHAGIA

Saya bergegas naik ke rumah di tingkat atas. Sampul surat tebal titipan Dana kemas dipegang  erat. Saya tidak sabar ingin menatap isinya.

Tangan saya mencapai gunting yang diletak dalam bekas bersama pen dan alat tulis lain. Dengan teliti saya menggunting hujung sampul agar tidak merosakkan isi dalamnya.


Saya menariknya isinya dengan teliti. Terdapat satu kertas keras seperti kad dan satu lagi kertas berlipat bertulis tangan. Kad tersebut terserlah dengan objek sekuntum bunga Ros yang dihasilkan dengan cebisan cebisan bunga kering yang ditampal membentuk sekuntum bunga. Warnanya sudah hampir pudar kerana ianya sudah hampir kering lantaran cebisan tersebut adalah kelopak bunga yang asli. Saya tidak pasti apa jenis bunganya. Manakala batang dan daun bunga adalah ranting dan daun asal yang sudah diceraikan dan ditampal rapi.

Amat  kemas dan teliti  tampalannya. Cebisan daun kecil  disusun rapi secara bertindan ditampal  membentuk bingkai kad tersebut. Cantik dan kemas hasilnya. Di bahagian bawah kad tertulis nama saya disusuli dan ungkapan ‘Ahla zikrayaat…‘Dana al Zu’biy’.  Kad ini nampaknya hasil kraftangan Dana sendiri. Nampaknya dibuat khas untuk saya.

Kemudian saya membuka lipatan kertas kedua berwarna ‘wardiy’. Kertasnya nipis tetapi cantik. Cantik dan kemas tulisannya.

إلى عزيزي الغالي....

أكذب عليك إن قلت بحبك
وأني نسيتك
أكذب عليك
أكذب عليك إن قلت نسيتك
ورجعت أفكر في اللي فات
وأقول يا ريتك... يا ريتك معايا

يا ريتك معايا
دايمًا على بالي
ولا بنساك
وساعات بشوفك
وأنت بعيد عني معايا
في خيالي

"وداع يا غالي… الله يسعدك وين ما كنت"

 

Aku berbohong jika aku katakan aku mencintaimu,

Dan aku sudah melupakanmu — aku dusta padamu.

Aku berbohong jika aku kata aku lupa…

Kerana aku masih mengenang masa lalu dan berkata,

“Kalaulah kau masih di sisiku…”

 

Kau sentiasa di dalam fikiranku,

Aku tak pernah lupakanmu,

Kadangkala aku melihatmu… meski jauh dariku,

Kau hadir dalam khayalanku.

Selamat tinggal wahai kasih… Semoga Allah membahagiakanmu di mana sahaja kamu berada

 

Bait bait ini kemudiannya saya tahu bahawa ia adalah lirik lagu qasidah dendangan ‘Wardah al Jazairiyyah’.

Berkali-kali saya membaca bait-bait tulisan Dana. Hati saya bungkam. Sedih. Saya berdiri di tingkap merenung jauh melihat dan mengira-ngira dedaun pokok tin di belakang rumah Abu Raghib.

Saya  rasa bersalah kerana membuat keputusan itu. Saya telah mengecewakan harapan sesorang. Rupanya Dana ke Yanbu bukan sekadar untuk tinggal dengan pakciknya. Dia membawa diri memujuk  duka hatinya.  Saya telah mengecewakan Dana.

Saya  melipat warkah tulisan Dana itu kembali menyelitkannya di celah kitab ‘Fatawa Muasirah’ yang sedang saya tekuni ketika itu.  Kad  kraftangan bunga ros tadi di usap dengan lembut. Kemudian saya  letakkan    rak kitab  disandarkan kepada kitab kita yang tersusun kemas.

Hati saya meruntun pilu.  Keputusan sudah dibuat. Walaupun ianya pahit dan terpaksa mengecewakan harapan sesorang. Saya yakin keputusan itu adalah petunjuk dari Allah hasil istikharah saya beberapa  hari. Hati saya berbisik memujuk bahawa Allah maha mengetahui dan maha bijaksana. Allah telah aturkan  jodoh yang terbaik untuk saya. Cuma  masanya belum  tiba.

Sabarlah wahai duhai hati. Jodohmu pasti tiba.  Dalam diam  saya berdoa agar Allah memberi ketenangan kepada Dana . Semoga Allah cepatkan jodohnya dengan cinta hatinya yang sekufu.

Begitulah perjalanan hidup ini. Kita perlu menerima bahawa takdir dan keadaan kadangkala tidak selari dengan perancangan atau keinginan kita. Begitu jugalah cinta dan kasih. Saya teringat bait-bait  syair masyhur yang diungkapkan oleh  al Mutanabbiy:

مَا كُلُّ مَا يَتَمَنَّى الْمَرْءُ يُدْرِكُهُ                    تَجْرِي الرِّيَاحُ بِمَا لَا تَشْتَهِي السُّفُن

Tidak semua yang diinginkan oleh manusia akan dapat digapainya;
angin kadangkala bertiup tidak seperti yang diingini oleh kapal.